SUKE kaji reka bentuk tanjakan susur keluar ke dua lorong

Bernama
September 26, 2022 07:00 MYT
Langkah itu akan membantu mengurangkan tempoh masa beratur dan membenarkan lebih banyak kenderaan keluar dari tanjakan itu pada satu-satu masa. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bahagian Operasi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bersama perunding sedang mengkaji reka bentuk sesuai untuk mengubah tanjakan susur keluar ke Leburaya Cheras-Kajang (Grand Saga), berdekatan lampu isyarat PGA/Jalan Medan Masria, kepada dua lorong.
Menurut kenyataan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) langkah itu akan membantu mengurangkan tempoh masa beratur dan membenarkan lebih banyak kenderaan keluar dari tanjakan itu pada satu-satu masa.
"Kajian juga akan dijalankan bersama syarikat konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE) untuk meneliti semula keseluruhan konfigurasi termasuk berdekatan Maktab PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang juga di bawah kendaliannya," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, dua unit papan tanda 'Dilarang Belok Kanan' akan diletakkan pada 200 meter (m) sebelum simpang ke CKE dan satu unit di simpang tersebut untuk mencegah trafik daripada menjadi perlahan.
"Sebahagian daripada jalan susur (dari Gereja St Francis of Asisi, Jalan Cheras ke Jalan Medan Masria) kira-kira sepanjang 400m itu telah siap dan baki 200m lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada akhir Februari 2023," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#suke #susur keluar #dua lorong #PROLINTAS
;