'Sukatan pelajaran terlalu padat kekang pengajaran alaf ke-21'

Astro Awani
Mei 16, 2019 21:10 MYT
Cheryl Ann berkata kurikulum pendidikan pada masa kini terlalu padat, sekali gus menyebabkan guru-guru tidak dapat memenuhi sistem pengajaran alaf ke-21. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Sistem pengajaran alaf ke-21 menjadikan para pendidik perlu seiring dengan kecanggihan teknologi.
Bagaimanapun, Pengarah Global School Leaders Malaysia, Cheryl Ann Fernando berkata teknologi hanya alat, namun kemahiran menjadi keutamaan pertama.
"Ada satu kajian menunjukkan guru-guru di Malaysia tidak banyak bertanya soalan kepada para pelajar selain soalan-soalan retorik.
"Mungkin langkah pertama adalah untuk pastikan para pelajar menjawab soalan dan bertanya soalan," katanya ketika ditemu bual dalam program Buletin AWANI Khas sempena Hari Guru hari ini.
Bercakap mengenai menggunakan teknologi maklumat (IT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran, Cheryl Ann berkata, kemahiran mengajar alaf ke-21 yang diperlukan ialah komunikasi, kerjasama dan pemikiran kreatif.
"Apabila saya mengajar, saya tak guna banyak teknologi, tetapi saya cuba cungkilkan kemahiran-kemahiran yang ada dalam diri pelajar," katanya.
Jelasnya, kurikulum pendidikan pada masa kini terlalu padat, sekali gus menyebabkan guru-guru tidak dapat memenuhi sistem pengajaran alaf ke-21.
"Banyak guru-guru kita mengajar ikut sukatan pelajaran dan kita ada masalah dengan kurikulum yang terlalu padat. Saya tahu mereka (guru-guru) nak buat sistem pengajaran alaf ke-21 dan pelbagai lagi, tetapi tak ada masa.
"Mungkin kurikulum kita terlalu luas tetapi tidak cukup mendalam. Jadi, susah untuk para guru menjalankan pengajaran melibatkan IT dan sebagainya," ujar Cheryl Ann.
Malah, beliau melihat para guru juga perlu mengubah cara pengajaran dan bukan lagi hanya berdiri dan menulis di papan putih.
"Tugas seorang guru itu bukan lagi berdiri di depan kelas dan mengajar. Peranan guru ketika ini adalah bersama dengan pelajar dan memudahkan pembelajaran. Buat lebih banyak aktiviti pembelajaran yang saling bertanya kerana mereka (guru) mempunyai ilmu itu.
"Kita tak mahu pelajar kita hanya menggunakan ilmu, tetapi kita mahu mereka menjadi pencipta ilmu. Tetapi untuk merealisasikan itu, kita kena beri mereka (pelajar) kemahiran berfikir, bertanya soalan, berbincang dan berkongsi pandangan," katanya.
#alaf ke-21 #Cheryl Ann Fernando #guru #Hari Guru #kemahiran #kreatif #kurikulum #mengajar #pelajar #pendidikan #sistem pengajaran dan pembelajaran #sukatan pelajaran #Teknologi Maklumat
;