Sukarelawan Yayasan Amal Malaysia selamat pulang, mohon henti kutip sumbangan

Hasimi Muhamad
April 21, 2020 11:51 MYT
Zulkifli dan sukarelawan Yayasan Amal Malaysia bagi Misi Agihan al-Quran Wakaf tiba di NDjamena pada 11 Mac dan dijadualkan pulang pada 19 Mac.
Lima sukarelawan Yayasan Amal Malaysia yang terkandas di N’Djamena, Chad, sejak 19 Mac lalu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.
Wakil kumpulan itu, Zulkifli Baharom yang juga Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah, berkata mereka kini sedang menjalani kuarantin di sebuah hotel di ibu negara.
Beliau berterima kasih kepada pihak yang terlibat membawa mereka pulang khususnya kerajaan dan Konsulat Malaysia di Abuja, Nigeria.
“Alhamdulillah kami sudah selamat sampai di Malaysia setelah menempuh perjalanan udara selama 20 jam.
“Pertama, kami terpaksa berangkat dari Chad dengan ihsan pihak Air France dan Kedutaan Perancis di Chad untuk membawa kami ke Paris. Dari Paris kami mengambil Qatar Airlines ke Doha dan seterusnya ke Kuala Lumpur,” katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata kos membawa mereka pulang adalah hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya semua pihak menghentikan sebarang usaha mengutip derma.
“Saya difahamkan masih ramai yang mengambil kesempatan lancarkan tabung derma (kononnya) untuk bantu kami tanpa pengetahuan kami. Jadi, saya harap jangan ada lagi kutipan derma,” katanya.
Dalam pada itu, walaupun berdepan pengalaman perit di Chad susulan penutupan lapangan terbang akibat pandemik COVID-19, Zulkifli berkata, beliau dan pasukan tidak pernah serik untuk meneruskan misi kemanusiaan sedemikian.
Sebelum ini, Zulkifli dan sukarelawan Yayasan Amal Malaysia bagi Misi Agihan al-Quran Wakaf tiba di N’Djamena pada 11 Mac dan dijadualkan pulang pada 19 Mac.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut terkandas selepas kerajaan Chad melanjutkan tempoh menutup lapangan terbang negara itu bagi mengekang pandemik COVID-19.
#COVID-19 #duduk rumah #Malaysia #NGO #Nigeria
;