Sukarelawan Unity Convoy Ambulances for Syria disoal siasat 7 jam di UK

Harits Asyraf Hasnan
April 22, 2017 13:14 MYT
Seramai 20 sukarelawan Unity Convoy Ambulances for Syria ditahan dan disoal siasat hampir tujuh jam oleh Pegawai Unit Khas dan Pegawai Imigresen United Kingdom (UK) susulan kehadiran mereka ke negara tersebut. - Facebook/Malaysia Life Line for Syria
Seramai 20 sukarelawan Unity Convoy Ambulances for Syria ditahan dan disoal siasat hampir tujuh jam oleh Pegawai Unit Khas dan Pegawai Imigresen United Kingdom (UK) susulan kehadiran mereka ke negara tersebut pada Sabtu.
Bagaimanapun, mereka yang mewakili NGO Malaysia Life Line for Syria (MLLFS), Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ), Misi Medis Suriah (MMS) Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Humanity Heroes dilepaskan masuk ke UK setelah pegawai di Unit Tindakan Khas berpuas hati dengan maklum balas yang diterima.
Ketua Pegawai Eksekutif MLLFS, Syahrir Azfar Saleh menyifatkan ia merupakan prosedur biasa yang perlu diambil oleh pihak berkuasa.
"Proses soal siasat ini merupakan prosedur keselamatan biasa yang perlu diambil oleh pihak berkuasa UK berikutan beberapa serangan dan juga ancaman pengganas yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan UK itu sendiri.
"Justeru semua sukarelawan telah dimaklumkan lebih awal semasa menjalani latihan sebelum berlepas untuk memberikan kerjasama sepenuhnya ketika ditahan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan media yang disiarkan hari ini.
Sementara itu, Ketua Misi, Mohamed Mu’az Mohamed Roslan berkata soal siasat selama hampir tujuh jam itu merupakan ujian pertama yang dilalui mereka.
"Pengalaman sukarelawan disoal siasat tersebut merupakan ujian pertama yang menguji kesabaran dan ketabahan para sukarelawan yang terlibat.
"Situasi yang akan dihadapi sepanjang perjalanan Unity Convoy kelak pastinya akan lebih mencabar, justeru persediaaan mental dan fizikal sukarelawan perlu berada di tahap yang paling optimum," katanya.
Sebanyak 85 buah ambulans akan menelusuri negara Eropah sebelum tiba di Syria di mana tujuh buah daripadanya adalah sumbangan daripada rakyat Malaysia yang prihatin termasuk penaja korporat iaitu Affin Islamic.
Kesemua ambulans ini akan dibawa sendiri oleh 20 orang sukarelawan dari Malaysia di samping lebih 130 orang sukarelawan antarabangsa yang lain.
#Malaysia Life Line for Syria MLLFS #Misi Medis Suriah MMS #Mohamed Mu az Mohamed Roslan #Muslim Volunteer Malaysia MVM #Syahrir Azfar Saleh #Tangisan Syria di Bumi Jordan TSDBJ #Unity Convoy Ambulances for Syria
;