Sukarelawan Mantap, Biro IPTS UMNO prihatin mangsa banjir
Astro Awani
November 13, 2017 08:30 MYT
November 13, 2017 08:30 MYT
Tindakan segera Kerajaan Persekutuan dibantu agensi berkaitan dalam misi bantuan kemanusiaan dan perubatan sewaktu banjir di Pulau Pinang membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela kebajikan rakyat.
Jurucakap Sekretariat Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) Sesi 7, Mohd Fadzli Naim menjelaskan usaha itu bukti budaya politik matang yang diamalkan kerajaan terutama apabila membabitkan soal kemanusiaan.
"Tanpa mengira latar belakang politik, pelbagai bantuan kemanusiaan dan perubatan diagihkan ke segenap kawasan terjejas, membabitkan usaha sama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) dan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).
"Misi kemanusiaan dijalankan tidak kira ketika bah atau pasca banjir bukti keprihatinan kerajaan yang sama sekali tidak mengambil kira latar belakang politik bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa.
"Kerajaan sebelum ini sudah menyatakan komitmen untuk memperuntukkan kira-kira RM1 bilion kepada kerajaan negeri Pulau Pinang bagi melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir di beberapa daerah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sebelum ini yang turut menumbangkan puluhan pokok.
Jelasnya lagi, agensi kerajaan dan NGO turut memberi sumbangan seperti beg sekolah, kontena berisi keperluan asas dan kit bantuan kepada mangsa banjir merangkumi tilam, bantal, barang keperluan memasak serta makanan.
"Turut dikerahkan adalah seramai 6,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan misi bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA 2.0) serta 500 pegawai dan anggota beserta pelbagai aset-aset seperti lori, van, kenderaan pacuan empat roda serta kenderaan pelbagai guna (MPV).
"Justeru, kita berharap dengan adanya bantuan daripada pihak kerajaan dan NGO, semua keperluan mangsa banjir dapat dipenuhi, sekali gus meringankan beban ditanggung mereka.
“Kita juga berharap pihak yang lebih berkemampuan digalakkan untuk saling membantu mangsa banjir tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik,” katanya.
Tambahnya, Mantap 7 membabitkan kira-kira 100 orang pelajar mahasiswa dari seluruh negara akan turun padang untuk terbabit dalam program sukarelawan pasca banjir di Pulau Pinang dalam masa terdekat.
Katanya, turut bersama dalam misi kemanusiaan itu nanti adalah sukarelawan dari Biro Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) UMNO yang dipengerusikan Datuk Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
#Angkatan Tentera Malaysia
#ATM
#banjir
#Jabatan Sukarelawan Malaysia
#NGO
#Projek Rancangan Tebatan Banjir
#Razali Ibrahim
#RELA
#UMNO