Sukarelawan lancar kempen 'Jerat Hari Valentine'

Bernama
Februari 2, 2013 18:50 MYT
Lebih 300 sukarelawan muda hari ini menyertai program turun padang bagi menyedarkan umat Islam terhadap pentingya mereka tidak meraikan Hari Valentine pada setiap 14 Feb.
Program "Jerat Hari Valentine" itu mensasarkan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Masjid As-Syakirin Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Antara lokasi ialah sekitar KLCC, Bukit Bintang, Masjid India, KL Sentral, Puduraya dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Othman berkata tenaga dan kemahiran sukarelawan muda berusia antara 19 hingga 25 tahun itu dapat memberi pengaruh yang baik dalam memberi nasihat dan penjelasan berhubung Hari Valentine kepada masyarakat Islam terutamanya dari golongan muda.
"Ini adalah kali pertama Jakim melibatkan golongan muda dalam menangani isu Hari Valentine. Golongan sasaran ialah remaja dan ibu bapa Islam, serta masyarakat sekitar, katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim Saimah Mokhtar berharap umat Islam, khususnya ibu bapa mengambil berat mengenai larangan merayakan hari Valentine yang mempunyai unsur-unsur Kristian dan bercampur dengan perbuatan maksiat.
Larangan itu dikeluarkan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-71 pada 2005.
Salah seorang peserta, pelajar universiti tempatan Siti Balqis Samsudin, 23, berkata program ini dapat membina keyakinan dan keberanian untuk membendung masalah gejala sosial di kalangan anak muda Islam.
Siti Wan Norain Mohammad Azman, 19, berkata walaupun rasa takut sekiranya dipandang serong kerana menasihati orang lain tetapi beliau tetap positif untuk hadir bagi memberi sokongan dan bantuan.
#Fatwa Majlis Kebangsaan #Hari Valentine #sukarelawan muda
;