Sukarelawan KP1M selamat tiba di tanah air
Astro Awani
November 17, 2013 20:03 MYT
November 17, 2013 20:03 MYT
Sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) termasuk doktor dan petugas media yang mengikuti misi kemanusiaan taufan Haiyan di Filipina, selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang pada petang tadi.
Kumpulan 32 sukarelawan itu berlepas dari Lapangan Terbang Daniel Z Romualdez, Tacloban, Filipina kira-kira pukul 8.30 pagi tadi menaiki pesawat TUDM Charlie C-130.
Presiden KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim menyuarakan rasa puas hati dengan keseluruhan perjalanan misi, walaupun beliau sendiri mengalami kecederaan di kepala pada penghujung misi.
Misi tersebut sepatutnya bertolak pulang ke tanah air pada Isnin kerana Presiden Filipina mahu melawat rumah kem Malaysia, tetapi kemalangan yang berlaku menyebabkan kepulangan misi di awalkan.
Tambahnya, objektif misi tersebut tercapai apabila semua 60 tan makanan yang dibawa dapat diagihkan.
KP1M bertolak ke Tacloban, Filipina, Selasa lepas dan sepanjang misi selama lima hari berjaya mengagihkan bantuan makanan, ubatan-ubatan dan peralatan perubatan di sembilan daerah di wilayah Leyte.