Sukarelawan, kakitangan PPV WTC tampil kreatif berpakaian tradisional, seragam agensi
Umavathi Ramayah
Ogos 31, 2021 11:56 MYT
Ogos 31, 2021 11:56 MYT
KUALA LUMPUR: Biarpun negara berdepan pelbagai kekangan dalam norma baharu berikutan penularan pandemik COVID-19, namun detik bersejarah, Hari Kebangsaan harus diraikan dengan penuh bermakna.
Sambutan kemerdekaan dalam skala besar termasuk program perbarisan yang saban tahun menjadi tumpuan rakyat Malaysia kita tidak lagi lihat di kaca televisyen pada hari ini.
Namun demikian, Pengarah Eksekutif Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, ia tidak seharusnya memudarkan semangat kemerdekaan sebaliknya rakyat Malaysia perlu terus menghayati erti kemerdekaan dalam lensa kebiasaan baharu.
"Kita harus kekalkan perpaduan dan keharmonian terutama sekali bersatu hati memerangi COVID-19 serta keluar dari pandemik ini untuk mengerakkan ekonomi negara kembali pulih.
"Sama-samalah kita berdoa supaya kita bebas daripada COVID-19 dan kita diperkuatkan untuk menjadi benteng utama negara dalam memerangi wabak ini dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega World Trade Centre (WTC) di sini, pada Selasa.
Menurut Irmohizam, para sukarelawan dan kakitangan PPV WTC Kuala Lumpur juga tampil kreatif dengan mengenakan pakaian tradisional dan baju seragam agensi masing-masing.
Beliau memberitahu, mereka juga berpeluang memenangi hadiah istimewa menerusi pertandingan pakaian dan health care organizer (HCO) terbaik.
PPV WTC Kuala Lumpur yang memasuki hari ke-118, setakat ini berjaya memberi suntikan lebih 1 juta dos vaksin COVID-19, sekali gus mencatat sejarah tersendiri.