Sukarelawan Food Flotilla for Myanmar tunggu kelulusan mendarat di Bangladesh
Hilal Azmi
Februari 11, 2017 18:22 MYT
Februari 11, 2017 18:22 MYT
Sekretariat Misi Food Flotilla for Myanmar optimis sukarelawan akan dibenarkan turun ke Bangladesh Isnin ini.
Ketua misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kumpulan peninjau kini sedang berusaha mendapatkan kebenaran sementara kapal Nautical Aliya belayar dari Yangon menuju ke Chittagong.
“Kita sudah bermesyuarat dan sudah meminta bantuan kerajaan Bangladesh melalui Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh untuk beri kelonggaran untuk kita turun beri bantuan,” katanya.
Katanya lagi, kebenaran kapal Nautical Aliya untuk berlabuh di Pelabuhan Chittagong telah diterima tetapi tiada lagi kebenaran dikeluarkan untuk sukarelawan turun ke lapangan.
Pihaknya berharap kelulusan diperoleh selewat-lewatnya esok (Ahad).
"Saya berharap kerajaan Bangladesh dapat memberi kelulusan untuk 184 sukarelawan turun menyalurkan bantuan. Kami ingin bantu saudara sesama Islam yang ditindas.
"Saya telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk turut membantu (usaha mendapatkan kelulusan)," katanya lagi.
Dijadualkan semua sukarelawan akan menghabiskan masa tiga hari di Cox Bazaar bagi menghantar bantuan di dua kem pelarian Rohingya yang membabitkan lebih 10,000 keluarga.
#'Food Flotilla for Myanmar'
#Abdul Azeez Abdul Rahim
#Bangladesh
#Chittagong
#Nautical Aliya
#Rakhine
#Rohingya
#Sittwe
#Teknaf
#Yangon