Sukarelawan DIY tempatan hasilkan perisai muka untuk petugas barisan hadapan

Fareez Azman
Mac 25, 2020 17:38 MYT
Sukarelawan DIY menghantar 'face shield' kepada petugas barisan hadapan di beberapa buah hospital di ibu kota. - Foto Ahmad Nurfaiz
Ketika negara berusaha mengimport masuk 10 juta topeng muka dan alat perlindungan diri dari negara China bagi mendepani pandemik COVID-19, tiada siapa menyangka sekumpulan anak muda tempatan menggerakkan inisiatif sendiri dengan tampil dengan inovasi perisai muka (face shield) khusus untuk membantu melindungi petugas barisan hadapan.
Ahmad Nurfaiz Ahmad Foat, 30, antara sukarelawan yang berjiwa besar dalam meringankan beban serta risiko dihadapi para petugas perubatan. Idea tercetus apabila melihat penggunaan perisai muka oleh isterinya yang bertugas di salah sebuah hospital kerajaan.
"Isteri saya maklumkan kepada saya walaupun PPE cukup, tetapi kaedah pemakaian begitu cepat kerana bila petugas barisan hadapan membuat saringan pesakit COVID-19, mereka perlu menukar setiap face shield selepas 15-20 pesakit. Maka, kadar penggunaan lebih tinggi daripada stok yang ada," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Justeru, situasi itu dilihat sebagai peluang bagi dirinya yang aktif dalam Produk Pasang Sendiri (DIY) menggunakan pencetak 3 Dimensi (3D) untuk menghasilkan perisai muka demi membantu petugas barisan hadapan.
Tambah Ahmad, pendekatan itu telah diambil oleh sukarelawan di beberapa buah negara di Eropah. Mereka (sukarelawan) menggembeleng tenaga kerja seramai mungkin untuk mencetak perisai muka menggunakan pencetak 3D.
"Di negara lain yang terlebih dahulu terkesan dengan COVID-19 seperti di Eropah, apabila kes meningkat mendadak banyak saringan di hospital dijalankan, tetapi masalah dihadapi apabila alat perlindungan diri tidak mencukupi.
"Jadi komuniti Produk Pasang Sendiri (DIY) di sana (Eropah) tampil membantu kerajaan dengan mencetak face shield dan dihantar ke lapangan. Ini sama dengan apa yang kita cuba usahakan di sini," katanya.
Pada awalnya, beliau yang memiliki sebuah pencetak 3D hanya mampu menghasilkan satu perisai muka dalam tempoh 40 minit. Bagaimanapun, ekoran keadaan terdesak terutamanya untuk kegunaan pasukan barisan hadapan, puluhan sukarelawan yang mempunyai minat yang sama turut membantu beliau.
"Cabaran itu banyak, tetapi disebabkan ramai sukarelawan pencetak 3D yang bantu, jadi penglibatan sukarelawan itu membantu dan tidak sampai separuh hari, kami mampu menginovasikan design face shield olahan kami," jelas Ahmad lagi.
Namun, permintaan perisai muka yang direkanya itu terus meningkat dan memerlukan kerjasama syarikat mesin pencetak 3D yang lebih besar.
"Sudah banyak pemain industri tempatan yang menghubungi kami mengatakan mereka cuba bantu, harap ada perkembangan positif.
"Frame (rangka) ini, kalau di rumah mengambil masa 40 minit paling cepat, tetapi kalau dalam skala industri dijangka dapat menghasilkan sehingga 30,000 keping dalam tempoh seminggu," jelasnya.
Inisiatif berkenaan jelas sukarelawan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam itu, sebagai bantuan sementara yang dapat dihulurkan kepada kerajaan terutama demi menjaga keselamatan petugas barisan hadapan.
"Itu apa kita cuba buat, untuk kerajaan dimana inisiatif oleh akar umbi ini cuma 'interim solution' sahaja. Sukarelawan di seluruh negara, apabila mereka sudah siap cetak 30-50 keping, mereka terus ke hospital beri kepada petugas barisan hadapan," kata Ahmad lagi.
Namun katanya, jika perkara itu mendapat sokongan kerajaan, bekalan perisai muka dijangka mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Disamping itu, orang ramai yang ingin menyertai dan menyumbang kepada inisiatif terbabit boleh melayari laman Facebook, 3D Printing Malaysia Community for COVID untuk maklumat lanjut.
#Astro Awani #coronavirus #COVID-19 #DIY #face shield #Hospital #inisiatif #Innovasi #koronavirus #laman sosial #perisai muka #permintaan #perubatan #Produk Pasang Sendiri #sukarelawan
;