Sukarelawan disaran dapatkan barangan bantuan dari luar negeri dilanda banjir - Rosol
Bernama
September 23, 2022 17:15 MYT
September 23, 2022 17:15 MYT
KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihati pihak sukarelawan atau individu, yang ingin menghulurkan bantuan barangan makanan dan keperluan asas kepada mangsa banjir pada musim tengkujuh nanti, supaya mendapatkan stok dari luar negeri yang dilanda bencana.
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata ia bagi memastikan stok bekalan makanan dan keperluan asas di negeri yang terjejas, sentiasa mencukupi buat penduduk setempat.
"Kita juga minta mereka (sukarelawan dan individu yang ingin menghantar bantuan) supaya mengutamakan produk keluaran Malaysia, ketika membeli barangan buat mangsa banjir sebagai menyokong usahawan dan peniaga tempatan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di IQI Mart di Kampung Beladau Kepong, di sini hari ini.
Dalam pada itu Rosol berkata seperti yang dilaksanakan pada musim tengkujuh sebelum ini, KPDNHEP telah memberi kebenaran kepada pemborong dan peruncit terpilih di setiap daerah yang berisiko dilanda banjir, untuk menyimpan stok bekalan makanan dan barangan keperluan 30 peratus melebihi kebiasaan.
Katanya langkah tersebut diambil bagi memastikan bekalan di lokasi yang dilanda banjir tidak terjejas dan sentiasa mencukupi.
Dalam perkembangan lain Rosol meminta pengguna supaya berhati-hati dan peka, ketika membeli barangan khususnya makanan termasuk di platform e-dagang, serta memastikan produk tersebut menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau badan pensijilan luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.
Beliau berkata siasatan KPDNHEP setakat ini mendapati, isu tular membabitkan produk gula-gula yang didakwa mengandungi unsur babi dan lengkap dengan logo halal yang tidak diiktiraf JAKIM itu, bukan berlaku di negara ini.
"Bagaimanapun, KPDNHEP tetap membuat pemantauan terutama di platform e-dagang dan menggesa orang ramai menyalurkan aduan, sekiranya terdapat produk seumpamanya di pasaran, bagi membolehkan tindakan diambil.
"Saya juga menyeru pengguna supaya sentiasa semak label dan penandaan halal pada sesuatu produk khususnya makanan. Jika ada keraguan, boleh laporkan kepada KPDNHEP atau JAKIM dan kita akan siasat untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, penyedia platform dalam talian juga perlu memainkan peranan untuk membendung perkara seumpamanya berlaku dan kementerian akan mengambil tindakan tegas jika terdapat pihak yang didapati mengelirukan pengguna mengenai perihal halal sesuatu produk.
Sebelum ini dilaporkan Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengesahkan tiada gula-gula mengandungi unsur babi dijual di pasaran.
Namun Nanta mengakui menerima maklumat bahawa produk tersebut dijual di pasaran dalam talian dan beliau meminta pengguna tidak membuat pembelian, jika mendapati ada bahan yang meragukan dalam sesuatu produk.
-- BERNAMA