Sukarelawan diminta tangguh hasrat bantu cari Mohammad Ashraf

Abd Razak Mohd Ali
April 3, 2019 08:02 MYT
Mohammad Ashraf dilihat di 'check point' ke-6 di mana gambar ini diambil pada 23 Mac, 2019. - Foto FizSaid
Masuk hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Selasa meminta sukarelawan supaya menangguhkan hasrat mereka untuk membantu.
Ia bagi memberi ruang kepada pihak penyelamat dan penduduk kampung untuk membuat penelitian yang lebih terperinci di kawasan pencarian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Penguasa Kanan Bomba I Mohamad Yunus Abu berkata, laluan licin ekoran hujan setiap hari di samping penemuan binatang berbisa seperti ular turut boleh membahayakan mereka.
“Beri ruang kepada pihak keselamatan untuk menilai dan mengkaji balik mana-mana ruang-ruang yang boleh kita cari tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.
“Kita akan bekerjasama dengan penduduk kampung di sini untuk menilai balik secara bersama, tanpa ada penglibatan daripada sukarelawan yang ingin turut membantu.
“Bukanlah saya menidakkan penglibatan mereka dalam operasi ini tetapi kita perlu masa yang sesuai untuk kita menilai secara lebih tenang dan kita akan mengkaji segala kemungkinan yang ada bersama dengan penduduk kampung,” katanya.
Beliau ditemui media di Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang, dekat sini, pada Selasa.
BACA: JBPM tetap usaha cari peserta larian Gopeng Ultra Trail yang hilang
Mohd Yunus berkata, pihaknya meminta tempuh bertenang itu antara tiga atau empat hari.
Menurut beliau, kehadiran sukarelawan yang terlalu ramai sedikit sebanyak menjejaskan pergerakan penduduk kampung.
BACA: Gopeng Ultra Trail: 170 sertai pencarian Mohammad Ashraf
Sementara itu, Pengerusi MPKK Kampung Pintu Padang, Mohd Fairis Zabidi mengakui menerima rungutan dan aduan mengenai ketidak selesaan penduduk kampung.
“Contohnya keadaan jalan jadi sesak dan kadang-kadang terdapat penyelamat tidak berdaftar melalui lorong-lorong belakang rumah penduduk kampung.
“Ada juga yang sesetengah mereka yang naik ke atas (bukit) dengan membuat bermacam-macam ritual yang bercanggah dengan agama Islam. Jadi ini menimbulkan kemarahan penduduk kampung,” ujarnya.
BACA: Peserta Gopeng Ultra Trail dikhuatiri hilang sejak Sabtu
Mohammad Ashraf, 29 tahun, dari Muar, Johor bersama 485 peserta lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pagi 23 Mac dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama di lokasi sama.
Kehilangan disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, apabila mendapati mangsa masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 1.09 pagi, 24 Mac.
#bahaya #bomba #Gopeng Ultra Trail #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #JBPM Perak #keselamatan #laluan licin #Mohamad Yunus Abu #Mohammad Ashraf Hassan #operasi #pelari hilang #pencarian #penduduk kampung #penelitian #sukarelawan #tangguh
;