Sukarelawan Astro bantu vaksinasi di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil
Hasimi Muhamad
Julai 20, 2021 09:36 MYT
Julai 20, 2021 09:36 MYT
KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) mengerakkan sukarelawan daripada syarikat tersebut untuk membantu proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil bermula semalam hingga 25 Julai.
Pengarah Perhubungan Korporat Astro, Mazhairul Jamaluddin berkata, inisiatif di bawah "Kita Teguh Bersama" itu sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menggalakkan vaksinasi dalam kalangan orang ramai.
Selain menempatkan sukarelawan, Astro turut memasang enam dekoder di PPV berkenaan sepanjang ia beroperasi bagi menyalurkan maklumat dan hiburan sementara orang ramai menunggu giliran menerima vaksinasi.
"Kita ada inisiatif-inisiatif lain termasuk memberi bantuan kepada petugas barisan hadapan dan sumbangan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik ini. Kami akan mengadakan lebih banyak inisiatif yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.
"Dengan platform yang kami ada, kami boleh memastikan lebih ramai rakyat Malaysia akan mendapat saluran berita. Inisiatif kami juga adalah supaya orang ramai akan tampil ke depan untuk mendapatkan vaksinasi," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.
Selain sukarelawan Astro, turut menyertai inisiatif tersebut ialah selebriti dan penyanyi Ara Johari, Amira Othman, Irfan Haris dan Syazwan Suhaimi.
Bagi Ara, dia mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita palsu mengenai vaksin.
Pelantun lagu Bunga itu berkata, orang ramai yang layak menerima vaksin perlu merebut peluang ini untuk memastikan kesihatan diri dan orang sekeliling.
"Vaksin sangat-sangat penting untuk diri kita sendiri, orang sekeliling dan negara kita. Jadi, saya harapkan supaya anda semua tidak jadi anti vaksin sebab kita mahu kurang kes jangkitan di negara ini.
"Saya harap anda semua mendaftar dan pergi apabila sudah mendapatkan janji temu," ujarnya yang sudah menerima dos pertama pada 18 Jun lalu.
Sementara itu, penyanyi Syazwan Suhaimi yang telah melengkapkan dua dos vaksin pula menzahirkan rasa teruja apabila dapat membantu kerajaan sebagai sukarelawan.
"Pertama saya mahu mendapatkan pengalaman menjadi sukarelawan. Selain itu, saya faham tugas sebagai selebriti, kami ada platform yang mana orang ramai boleh tengok dan ini adalah cara kami mempromosikan program vaksinasi," ujarnya.
PPV Stadium Nasional Bukit Jalil mula beroperasi pada 21 Jun lalu dengan kemampuan kapasiti sehingga 10,000 dos sehari.
PPV berskala besar itu membolehkan lebih ramai rakyat khususnya di sekitar Lembah Klang divaksin, dengan tumpuan kepada rakyat yang berusia 40 tahun ke bawah.
#Pusat Pemberian Vaksin
#PPV
#Kita Teguh Bersama
#Astro Malaysia Holdings Bhd Astro
#Mazhairul Jamaluddin
#PPV Stadium Nasional Bukit Jalil
#Ara Johari
#Amira Othman
#Irfan Haris
#Syazwan Suhaimi