Sukar sangatkah menggunakan meter?

Arfa Yunus
November 14, 2012 07:18 MYT
Pengguna teksi di Lembah Klang berterusan dihimpit dilema dengan sikap pemandu teksi yang seakan masih berdegil untuk menggunakan meter.
Hakikatnya sebulan yang lalu laman sesawang londoncabs.co.uk menggambarkan perkhidmatan teksi di negara ini adalah yang terburuk di dunia dengan rungutan seperti caj berlebihan, mengambil jalan jauh atau tidak menggunakan meter.
Astro Awani enggan menerima hakikat itu membuta tuli. Mungkinkah tinjauan itu tidak berasas?
Wartawan kami menguji sikap pemandu teksi di beberapa lokasi di Kuala Lumpur hujung minggu lepas.
Empat jam lamanya dan selepas menahan 13 buah teksi dan12 darinya enggan menggunakan meter !
Alasannya ‘laluan sesak’ (meskipun waktu itu petang Ahad).
Tinjauan di Pudu Sentral dan KLCC, wartawan kami dikenakan caj pukal RM20 untuk perjalanan tidak sampai 2 kilometer dan RM70 untuk perjalanan 18 kilometer.
Lima pemandu di Pudu Sentral mengenakan tambang antara RM49 hingga RM55 untuk perjalanan ke Subang, manakala caj ke Bukit Bintang adalah antara RM15 hingga RM20 ringgit.
Lebih mengejutkan ada pemandu yang meminta RM20 ringgit untuk perjalanan ke Dataran Merdeka yang hanya berjarak 2 kilometer.
Cajnya seharusnya tidak lebih dari RM5 jika pemandu menggunakan meter.
Tinjauan diteruskan di KLCC, senarionya sama, meter yang ada sekadar perhiasan.
Tujuh pemandu berhenti di perhentian teksi berhadapan KLCC, namun enggan menggunakan meter.
Sebaliknya menuntut RM20 untuk ke Bukit Bintang.
Malah salah seorang daripada mereka mahukan tambang RM70 untuk ke Subang.
Hakikatnya pada 2009, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan tambang teksi, kereta sewa dan bas sekolah.
Semuanya dilakukan bagi memenuhi desakan pemandu teksi yang mendakwa tidak dapat ‘cari makan’ dengan kadar tambang yang rendah.
Mendengar masalah kumpulan itu, kerajaan telah menaikkan tambang telah dinaikkan sehingga 30 peratus.
Jika dahulu caj sekali sebanyak RM2 ringgit dikenakan, kini ia pada kadar RM3 untuk kilometer pertama atau perjalanan selama tiga minit.
Rombakan struktur tambang juga menyaksikan penumpang dikenakan 10 sen bagi setiap 115 meter berbanding untuk jarak 150 meter sebelum ini.
Ketika jalan sesak pula, caj 10 sen dikenakan bagi setiap 21 saat berbanding 45 saat sebelum ini.
Insentif untuk kumpulan itu juga tidak kurang lumayannya.
Kerajaan telah memperuntukkan RM35 juta untuk pemandu teksi. Satu inisiatif di bawah program Teksi Rakyat 1Malaysia telah diperkenalkan dimana bermula Jun, setiap teksi menerima subsidi tayar bernilai RM520.
Ini bagi membiayai penukaran empat buah tayar bagi tempoh dua tahun.
Terbaru, ada cadangan untuk memanjangkan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial atau Socso kepada pemandu teksi persendirian.
Pemandu teksi tidak jujur bermaharajalela di ibu kota
Pengalaman penulis dipaksa membayar RM20 untuk perjalanan kurang 2.5 kilometer dari Bukit Kewangan ke Kampung Attap minggu lalu menjadi titik tolak laporan ini.
Tidak dapat mengelak kerana kesuntukan masa untuk satu tugasan penting, penulis terpaksa mengalah.
Mendengar keluhan penulis, editor tugasan telah mengarahkan agar penulis sendiri membuat tinjauan rambang mengenai sikap pemandu teksi yang enggan menggunakan meter.
Ahad lalu, berbekalkan kaca mata hitam dan pelat pekat, penulis menuju ke Jalan Pudu dan bertindak menahan 5 buah teksi di hadapan Pudu Sentral.
Berlagak seperti pelancong, penulis melahirkan hasrat untuk ke Subang.
Seharusnya pemandu menjemput penumpangnya memasuki teksi, tetapi sebaliknya berlaku.
Pemandu teksi meminta caj rata antara RM49 hingga RM55 untuk perjalanan sehala.
Kecewa, benarlah seperti yang dilaporkan oleh banyak pihak, pemandu teksi di Kuala Lumpur tidak pernah berubah.
Lebih mengecewakan apabila ada pemandu yang meminta RM20 untuk perjalanan ke Dataran Merdeka dari Pudu Sentral.
Beberapa pemandu lain juga berkata caj adalah antara RM15 hingga RM20.
Hakikatnya ini bukan hari pertama penulis di ibu kota, sukar untuk menerima sikap tidak masuk akal pemandu ini. Tambah lagi tiada kesesakan di hari Ahad.
Tidak berpuas hati, penulis kemudiannya ke KLCC. Sudah diduga bakal menghadapi masalah yang sama dan kali ini caj yang dikenakan lebih tidak munasabah.
Tujuh teksi ditahan dengan destinasinya Bukit Bintang. Tidak kurang dari RM20 tambang yang diajukan kepada penulis.
Ini tidak termasuk RM70 untuk perjalanan ke Subang.
Yang pasti tidak mungkin kadar tambang sama dikenakan dari Pudu ke Bukit Bintang dan dari KLCC ke tempat yang sama.
Lebih menjengkelkan apabila ada pemandu yang marah apabila penulis enggan memasuki teksinya.
Namun ada juga yang tersenyum sinis apabila penulis berkata kurang mampu untuk membayar tambang yang diminta.
Puas sudah pengalaman yang dihadapi penulis untuk empat jam lamanya.
Keesokan harinya,penulis mengambil keputusan untuk mengambil teksi ke destinasi dituju.
Kali ini mungkin sudah nasib agaknya, pemandu teksi terbabit terus menggunakan meter dan penulis gembira kerana akhirnya berjumpa juga dengan pemandu teksi yang jujur.
Namun perkara sebegini tidak berlaku setiap hari.
Pengajarannya, mungkin ini sudah menjadi satu lumrah buat warga kota berhadapan sikap pemandu teksi yang tidak jujur di Kuala Lumpur.
#Kuala Lumpur #Lembah Klang #pemandu teksi #tambang
;