Sukar lupakan detik rakan dibunuh Komunis - Veteran tentera
Bernama
Ogos 28, 2020 17:53 MYT
Ogos 28, 2020 17:53 MYT
Peristiwa menyaksikan rakan seangkatan dibunuh di depan mata serta kekejaman lain seperti membakar rumah dan menyeksa penduduk kampung oleh pengganas komunis antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan seorang veteran tentera, Nordin Hussin, 88.
Kejadian sekitar 1954 hingga 1958 tersebut meninggalkan kesan mendalam kepadanya yang ketika itu bertugas sebagai penjaga stor Unit Artileri di Kem Yishun, Singapura.
"Banyak kekejaman pengganas Komunis ini berlaku di depan mata saya, selain melihat rakan-rakan dibunuh, mereka membakar rumah penduduk, membakar bas dan tidak terkecuali menyeksa penduduk kampung." katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui pada program Ziarah Veteran ATM bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-63 kelolaan Hospital Pakar KPJ Johor dan Pasaraya Econsave, di Senggarang di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor Mohd Azhar Abdullah berkata program berkenaan merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat bagi menghargai jasa pejuang negara.
Menerusi program itu pihaknya menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan beberapa alat bantuan sokongan kesihatan iaitu kerusi roda, tongkat serta pakej kesihatan bernilai RM600 kepada tiga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kluang dan Batu Pahat termasuk Nordin.
Dua lagi veteran tentera yang menerima bantuan itu ialah bekas Pegawai Waran 1 Ahmad Adnan, 77, yang berkhidmat dengan Batalion 10 Rejimen Renjer Diraja dan Koperal Ahmad Sapuan Yakub, 77, yang bertugas di Kor Kejuruteraan ATM.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia
#askar
#ATM
#komunis
#Merdeka
#nordin hussin
#pengganas
#perang
#veteran tentera