Sukar laksana penilaian Unduk Ngadau secara dalam talian
Fauzi Suhaimi
Mei 30, 2020 11:18 MYT
Mei 30, 2020 11:18 MYT
Cadangan untuk melakukan pertandingan Unduk Ngadau secara dalam talian disifatkan sebagai sesuatu yang amat sukar.
Pengerusi Persatuan Unduk Ngadau Sabah Ellyanti P.Nelson berkata ini kerana penilaian itu memerlukan kriteria tertentu dan perincian murni.
Ujarnya, adalah menjadi satu cabaran baharu buat semua jawatankuasa jika pertandingan itu dilaksanakan secara dalam talian.
"Bercakap mengenai Unduk Ngadau, penilaian terperinci antara aspek yang amat dititikberatkan bagi suku kaum Kadazan, Murut dan Rungus di negeri ini. Ia memerlukan pelbagai kriteria yang dinilai dan dilihat.
"Pokok pangkalnya ialah nilai dan ciri seseorang Unduk Ngadau yang dipilih perlu menunjukkan gambaran daripada legenda Huminodun yang kita percaya seorang wanita pernah berkorban suatu ketika dahulu.
"Jadi, untuk memilih siapa yang layak kita perlu lihat perincian yang mendalam dan jika kaedah dalam talian dilaksanakan, banyak cabaran perlu dihadapi seperti teknikal, pengadilan dan penganjurannya.
"Kalau untuk memilih secara fizikal pun merupakan sesuatu yang sukar, inikan pula dalam talian," katanya menerusi temu bual dalam Buletin AWANI pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ellyanti berkata kelaziman sambutan pesta itu perlu diubah selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Kelaziman Pesta Kaamatan biasanya kita akan raikan selama sebulan, pelbagai aktiviti dilakukan iaitu aktiviti secara beramai-ramai, semua libat kontaks.
"Tetapi sekarang, setiap aktiviti boleh dilakukan dirumah masing-masing seperti menumbuk padi dan mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan atau mungkin menyanyi lagu tradisi di rumah dan berkongsi di media sosial," katanya.
#COVID-19
#kaamatan
#Media
#media sosial
#nilai
#operasi
#Pesta Kaamatan
#PKPB
#rumah
#Sabah
#SOP
#tadau kaamatan
#unduk ngadau
#wanita