Sukar cari lokasi sebenar walaupun serpihan sah sisa MH370 - Pakar Oseanografi
Mohd Dzulfitri Md Yusuf
Ogos 7, 2015 09:19 MYT
Ogos 7, 2015 09:19 MYT
Meskipun flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion disahkan milik MH370 tetapi ia tidak banyak membantu siasatan untuk mencari jawapan lokasi sebenar pesawat malang itu berakhir.
Menurut Pakar Oseanografi Universiti Australia Barat Prof Charitha Pattiaratchi, serpihan kecil yang ditemui juga memberi isyarat bahawa ia telah dihanyutkan di suatu kawasan yang cukup luas dan ini menyukarkan pakar untuk mengenal pasti dengan tepat lokasi asal serpihan tersebut.
"Kita tidak dapat mengesan dengan tepat lokasi sebenar MH370 berakhir, sekiranya kita lakukan proses mengesan semula, ia akan merangkumi kawasan yang terlalu luas untuk mencari dari mana serpihan kecil yang ditemui itu telah dihanyutkan," kata Charitha dalam temu bual melalui Skype dalam program Agenda AWANI pada Khamis.
Flaperon itu merupakan satu-satunya serpihan yang disahkan daripada MH370 selepas lebih 16 bulan pesawat itu hilang dan tempoh masa yang sebegitu lama menyukarkan pengiraan tepat lokasi sebenar MH370 berakhir.
Selain itu, tiada siapa yang dapat mengesahkan berapa lama serpihan MH370 itu telah terdampar di dataran Pulau Reunion sebelum ia ditemui pekerja pembersihan pantai pada 29 Julai lalu.
Charitha berpendapat penting untuk mengetahui masa sebenar serpihan itu terdampar di Pulau Reunion kerana dari situ, saintis dapat memastikan kiraan tepat untuk mengesan dari mana serpihan itu dihanyutkan dengan mengambil kira faktor semasa serpihan itu ditemukan.
Beliau juga yakin semua penemuan di Pulau Reunion konsisten dengan kawasan pencarian MH370 selain meramalkan lebih banyak serpihan akan ditemui sekitar pulau itu hingga ke Madagascar dalam tempoh terdekat.
Beliau juga menambah berdasarkan simulasi komputer dan juga mengambil kira faktor semulajadi arus Lautan Hindi, serpihan pesawat MH370 boleh dihanyutkan ke Madagascar hingga ke selatan Australia.
Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion adalah sebahagian daripada MH370.