Sukan wadah rapatkan hubungan ATM dengan orang awam - Panglima ATM

Bernama
Ogos 24, 2023 16:41 MYT
Affendi berharap kejayaan yang dikecapi atlet ATM selama ini diteruskan sehingga ke peringkat antarabangsa. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata bidang sukan merupakan wadah penting dalam merapatkan hubungan antara ketumbukan itu dengan masyarakat awam.
Berucap pada Malam Anugerah Sukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2023 di Wisma Perwira di sini pada malam Khamis, beliau berkata bidang sukan membolehkan orang awam mengenali organisasi ATM dengan lebih baik.
"Amnya, kita ingin menemukan titik pertemuan yang membolehkan orang awam lebih memahami organisasi keramat ini (ATM)... untuk kita menggandakan kepercayaan pemegang taruh terhadap ATM sekali gus membolehkan hasrat 'Angkatan Masa Hadapan' dapat direalisasikan," katanya.
Mengulas pencapaian dalam bidang sukan, Affendi berharap kejayaan yang dikecapi atlet ATM selama ini diteruskan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Terdahulu, beliau menyampaikan anugerah kepada Pegawai Waran 2 Billage Anak Nakang daripada perkhidmatan Tentera Darat Malaysia sebagai Olahragawan ATM 2023 selepas meraih pingat gangsa di Kejohanan Pencak Silat Kejuaraan Dunia ke-19.
Pemenang pingat emas di Kejohanan Olahraga Asia Tengah Laskar Kelas 1 TNL (Teknisyen Logistik) Savinder Kaur Jogindr Singh daripada perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia pula dianugerah Olahragawati ATM 2023 manakala anugerah Jurulatih Sukan Terbaik 2023 digondol jurulatih olahraga Flait Sarjan Tiruvatiran Vedivelu.
-- BERNAMA
#ATM #peringkat antarabangsa #TLDM #pingat gangsa