Sukan tradisional turut meriahkan bulan pelancongan sempena TMM2024

Bernama
Disember 17, 2023 05:00 MYT
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (depan enam, kanan) bergambar bersama jawatankuasa eksekutif baharu Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) bagi tahun 2023 hingga 2026 dan perwakilan. - Foto BERNAMA
MELAKA: Bulan pelancongan sukan dan rekreasi yang bertemakan 'Lets Fit Together' akan melibatkan pelbagai acara menarik termasuk sukan tradisional sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran bulan pelancongan sukan itu dijadualkan berlangsung sepanjang Mei tahun depan bagi menggamit kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke Melaka.
"Sempena TMM2024, setiap bulan ada tema tersendiri, dan apabila tiba tema pelancongan sukan, kita akan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi memupuk dan meraikan semangat kesukanan dalam masyarakat.
"Sukan tradisional juga akan dimuatkan dalam pengisian program yang dirangka bagi mengangkat nilai seni budaya masyarakat, sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) ke-67 di Banda Hilir, di sini, pada Ahad.
Katanya, pelbagai aktiviti sukan sedia ada seperti bola sepak, bola jaring dan lain-lain juga diadakan bagi memeriahkan sambutan TMM2024. - BERNAMA
#sukan tradisional #Tahun Melawat Melaka 2024 #TMM 2024 #bulan pelancongan
;