Sukan SEA Hanoi: Program Jom Tengok Bola jadi platform pupuk semangat perpaduan

Eton Khir
Mei 22, 2022 22:27 MYT
Antara mereka yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Malaysia menentang Indonesia menerusi Program Jom Tengok Bola pada Ahad. - Gambar/ Astro AWANI
PETALING JAYA: Menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat menerusi sukan antara matlamat dalam Program Jom Tengok Bola Harimau Muda menentang Indonesia di Restoran Syed Bistro SS6, Petaling Jaya, pada Ahad.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Noridah Abdul Rahim, berkata program bersama Astro AWANI itu amat bertepatan sebagai platform menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.
“Alhamdulillah ini kali kedua kita laksanakan program ini dan sambutannya sangat mengalakkan. Insya-Allah, kita akan perbanyakkan lagi tapak integrasi seperti ini pada masa akan datang dengan penglibatan pelbagai lagi daripada pihak-pihak lain.
“Tidak dapat dinafikan sukan adalah salah satu wadah utama untuk menyatukan masyarakat kita yang pelbagai bangsa dan budaya.
“Kita buang dan tolak tepi apa sahaja perbezaan dan meraikan kepelbagaian yang kita ada kerana itu segala usaha ini sememangnya satu yang baik,” katanya selepas menyaksikan perlawanan itu.
Kira-kira lebih 300 orang hadir dalam program berkenaan yang bermula sejak 5 petang, yang turut dimeriahkan dengan aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah dan cabaran timbang bola.
Dalam perlawanan merebut pingat gangsa bagi acara bola sepak Sukan SEA ke-31 malam ini, skuad kendalian Brad Maloney tewas 3-4 di tangan Indonesia menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat satu sama sehingga wisel penamat.
Sementara itu, bagi penyokong cilik, Mohammad Danish Iman Ridzuan, 12 berkata dia teruja dapat berkumpul beramai-ramai menyaksikan perlawanan itu kali pertama seumur hidupnya.
“Saya mula berminat pada sukan bola sepak sejak berusia lima tahun lagi dan ayah saya yang memupuk minat tersebut. Jujurnya, saya berasa sangat gembira dengan inisiatif yang dilaksanakan ini,” katanya.
P. Danesh Kumaar, 29, pula berkata gembira berpeluang menyaksikan perlawanan seperti itu dalam suasana meriah buat kali pertama selepas dua tahun.
“Inisiatif seperti ini sangat baik sekali gus dapat mengeratkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Selain itu, setelah hampir dua tahun saya tidak dapat keluar menonton perlawanan membabitkan pasukan Malaysia, ini merupakan sesuatu yang sangat saya rindukan,” katanya.
Bagi Sara Yeaoh, 30, dia teruja dengan suasana meriah menyebabkannya dan rakan-rakan lebih bersemangat untuk menyokong.
“Ini kali pertama saya menonton perlawanan bola sepak di kawasan awam dan saya rasa amat gembira kerana sebelum ini hanya boleh menonton dengan keluarga di rumah sahaja, namun kini dapat menonton dan berkumpul bersama rakan-rakan,” katanya.
Mohd Shahin Shah Mohd Hanafiah, 36, pula berkata, dia yang merupakan peminat fanatik bola sepak tempatan bersemangat hadir dengan berbaju Jalur Gemilang.
“Malaysia tewas 3-4 semasa penalti. Tidak mengapalah. Insya-Allah perlawanan akan datang Malaysia akan bangkit kembali,” katanya.
#Sukan SEA Hanoi #Jom Tengok Bola #Astro Awani #Kementerian Perpaduan
;