Sukan, riadah di negeri Fasa 2 seterusnya dibenarkan bagi individu lengkap vaksinasi - PM
Astro Awani
Ogos 8, 2021 17:59 MYT
Ogos 8, 2021 17:59 MYT
KUALA LUMPUR: Aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) dibenarkan bagi individu yang telah menerima vaksin lengkap di negeri-negeri dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya.
Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, aktiviti tersebut dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka dan separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.
“Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik,” katanya menerusi pengumuman khas mengenai kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap hari ini.
Muhyiddin berkata, aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.
Bagaimanapun, katanya operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan.
“Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan,” tegasnya.
Jelas Perdana Menteri, seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:
Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan
b) Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.
“Kesemua kemudahan yang saya umumkan hari ini akan mula berkuatkuasa pada Selasa, 10 Ogos 2021.
“Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat,” ujarnya.
#riadah
#sukan
#outdoor
#dua dos
#vaksin
#vaksinasi lengkap
#COVID-19
#Fasa dua
#PPN
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin