Sukan Para Asia: Eddy suntik semangat kem olahraga negara dengan pingat perak

Bernama
Oktober 24, 2023 19:18 MYT
Atlet olahraga Eddy Bernard memenangi pingat perak pada acara 100 meter lelaki T44 pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Stadium Huang Long hari ini. - Foto Bernama
HANGZHOU: Atlet kelahiran Sabah, Eddy Bernard menceriakan kem olahraga negara apabila menyumbang pingat perak dalam acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) di Sukan Para Asia Hangzhou 2022, di sini, hari ini.
Pada aksi final di Stadium Pusat Sukan Huanglong itu, Eddy menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan mencatatkan masa 11.86 saat (s), ketinggalan 0.26s di belakang pemenang pingat emas, Nuwan Indika Gamage dari Sri Lanka.
Pingat gangsa menjadi milik atlet Arab Saudi, Nour Mohammed S Asana dengan catatan 12.07s.
Eddy menyumbang pingat kedua untuk kem olahraga negara selepas pingat gangsa oleh atlet lontar peluru wanita, Noor Imanina Idris, semalam.
Kejayaan Eddy, 22, itu sekali gus mengubat kekecewaannya pada penampilan edisi 2018 Jakarta-Palembang apabila beliau tidak berjaya melangkah ke saingan akhir.
"Saya sasarkan emas pada mulanya namun berlaku kesalahan false start oleh atlet lain tadi jadi ia sedikit menggangu.
"Apa pun saya puas hati dengan kejayaan perak ini dan akan meletakkan fokus sepenuhnya pada acara seterusnya," katanya kepada Bernama.
Pemenang pingat emas acara lompat jauh T44 Sukan Para Asia 2018 itu kini meletakkan misi mempertahankan pingat emasnya pada Jumaat ini.
-- BERNAMA
#Eddy Bernard #Sukan Para Asia Hangzhou 2022 #acara 100 meter m lelaki T44 #pingat perak
;