Sukan Komanwel: Dua beregu skuasy wanita negara di landasan tepat buru pingat
Bernama
Ogos 6, 2022 08:00 MYT
Ogos 6, 2022 08:00 MYT
BIRMINGHAM: Dua pasangan beregu skuasy wanita negara berada di landasan tepat dalam memburu pingat pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham apabila melangkah ke separuh akhir di Pusat Skuasy dan Hoki Universiti Birmingham, di sini, pada Jumaat.
Beregu utama negara, Aifa Azman-Rachel Arnorld, bagaimanapun, terpaksa berhempas pulas sebelum mengatasi pasangan Australia, Lobban Donna-Grinham Rachael dengan keputusan 11-9, 4-11, 11-10.
Tugas berat menanti gandingan negara itu apabila dijadual berdepan wakil tuan rumah, Sarah-Jane Perry dan Alison Waters di peringkat separuh akhir.
Satu lagi pasangan negara, Chan Yi Wei-Noor Ainaa Amani Ampandi pula tidak berdepan masalah mara dalam kelompok empat beregu terbaik apabila menewaskan gandingan Joshana Chinappa-Dipika Pallikal Karthik dari India,11-2, 11-7.
Di peringkat separuh akhir, beregu Malaysia itu akan menentang Joelle King-Amanda Landers Murphy dari New Zealand.
Kedua-dua perlawanan separuh akhir beregu wanita itu akan berlangsung Ahad.
Sementara itu, dua beregu lelaki negara berdepan nasib berbeza dalam saingan pusingan 16 terbaik.
Ng Eain Yow-Yuen Chee Wern menempah slot ke suku akhir selepas menewaskan pasangan adik beradik Temwa-Lwamba Chileshe dari New Zealand 11-3, 4-11, 11-8.
Beregu negara itu akan berdepan gandingan dari India, Velavan Senthilkumar-Abhay Singh, di peringkat suku akhir hari ini.
Ong Sai Hung-Mohammad Syafiq Mohd Kamal, bagaimanapun, ditunjuk jalan keluar daripada temasya itu apabila tumpas kepada pasangan England, Adrian Waller-Selby Daryl 11-9, 4-11, 7-11.
-- BERNAMA