Sukan air dalam kolam renang dibenarkan bermula 25 Jun - Ismail Sabri

Hasimi Muhamad
Jun 19, 2020 14:38 MYT
Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri juga bersetuju untuk membenarkan operasi kolam renang di tempat terkawal.
Kerajaan pada Jumaat memberi kebenaran aktiviti sukan air dalam kolam renang untuk latihan tanpa sentuhan fizikal berkuat kuasa 25 Jun ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri juga pada dasar bersetuju untuk membenarkan operasi kolam renang di tempat terkawal untuk tujuan rekreasi.
Ia termasuk kolam renang persendirian di kediaman, komuniti berpagar serta kolam renang awam di hotel dan kelab rekreasi.
Bagaimanapun, katanya prosedur operasi standard (SOP) perlu dibangunkan dan dibentangkan bagi mendapatkan persetujuan pembukaan.
“Aktiviti latihan renang (termasuk terjun dan menyelam) dibenarkan di kolam renang mengikut sesi ditetapkan dan dihadkan bilangan orang pada satu-satu sesi mengikut kapasiti kolam renang.
"Ia termasuk untuk atlet kebangsaan, negeri dan perenang kelab dan akademi renang dalam program-program latihan tertentu atau perenang dalam program-program latihan berperingkat (seperti program learn to swim).
"Mesyuarat juga bersetuju pada dasarnya untuk membuka kolam-kolam lain sama ada di hotel, di tempat terkawal, gated area seperti kondominium dan sebagainya... begitu juga di kolam-kolam renang awam.
"Walau bagaimanapun SOP tersebut perlu dibangunkan dahulu dan Insya-Allah selepas dibentangkan SOP, kolam renang lain, kita akan memberikan kelulusan," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.
Jelas Ismail Sabri, operator kolam renang, kelab dan akademi renang perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di laman web notification.miti.gov.my.
Langkah tersebut katanya, untuk tujuan pematuhan SOP dan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Berikut adalah antara SOP membabitkan aktiviti di kolam renang:
- Penjarakan sosial tiga hingga lima meter semasa aktiviti latihan di dalam kolam renang.
- Meninggalkan premis atau tempat latihan secepat mungkin selepas aktiviti latihan.
- Aktiviti renang dilakukan di dalam kolam yang standard untuk latihan dan pertandingan.
- Pastikan pengguna membersihkan diri terlebih dahulu sebelum menggunakan kolam.
Sementara, SOP Am Pengurusan yang perlu dipatuhi oleh Operator Kolam Renang pula adalah:
- SOP dalaman yang bersesuaian
- Kawalan had bilangan perenang di dalam kolam renang dan di bilik mandi atau persalinan
- Operator kolam juga perlu memastikan ujian tahap klorin dalam kolam renang dilakukan setiap dua jam operasi bagi memastikan tahap klorin pada tahap optima mengikut piawaian KPKT dan KKM
#Kementerian Belia dan Sukan #KKM #Kolam renang #MITI #penjarakan sosial #SOP #sukan air
;