Suhakam syor lepaskan tahanan reman secara bersyarat bagi kurangkan risiko jangkitan
Hakim Rahman
November 12, 2020 16:05 MYT
November 12, 2020 16:05 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengesyorkan pembebasan awal tahanan reman yang melakukan kesalahan ringan dengan syarat dan kriteria tertentu, bagi menangani isu kesesakan penjara sekali gus mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Menurut Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph, cadangan itu melibatkan banduan reman yang tidak berisiko kepada keselamatan awam atau menghidap penyakit kronik dibebaskan dengan syarat.
Antara kriteria yang perlu dipertimbangkan adalah banduan reman yang melakukan kesalahan kecil, jenayah bukan keganasan, kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan banduan yang mempunyai sakit kronik.
"Salah satu cara mengurangkan banduan reman adalah ikat jamin tanpa wang tunai, sokongan penjamin, serta mekanisma bersesuaian semasa pandemik. Contohnya, mereka perlu lapor diri ke balai polis setiap hari sebelum jam 6 petang atau mungkin boleh melakukan panggilan video sebagai ganti.
"Kami mencari jalan untuk mengurangkan penyebaran COVID-19 (di penjara) jadi kami hadir dengan cadangan-cadangan ini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut data yang dikumpul Suhakam, kapasiti penjara di seluruh negara sepatutnya menampung 53,830 banduan, namun sehingga 15 Oktober lalu jumlah banduan adalah 72,903 orang.
Jelasnya, tindakan ini dapat mengurangkan kapasiti pusat tahanan memandangkan 30 peratus penghuni penjara di seluruh negara merupakan banduan yang sedang menjalani reman.
Banduan reman merujuk kepada merupakan individu mereka yang ditahan di penjara kerana tidak mampu membayar ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.
Mengulas lanjut Joseph berkata kesesakan ini bukan sahaja menyebabkan banduan berisiko dijangkiti covid-19, tetapi juga kakitangan, pegawai dan ahli keluarga.
“Pada awal penularan pada Mac, Suhakam telah kemukakan beberapa syor untuk mengatasi kepadatan di penjara dan depoh tahanan.
“Bagaimanapun, sekarang kita lihat berlaku jangkitan di banyak penjara dan ada yang merekodkan jumlah kes yang tinggi," katanya lagi.
Katanya kerajaan serta Jabatan Penjara perlu mengambil tindakan lebih serius supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk.