SUHAKAM sambut baik keputusan pemansuhan hukuman mati mandatori

Hafizi Rosli
April 4, 2023 10:00 MYT
SUHAKAM turut menyatakan penghargaan dengan penglibatan Pesuruhjaya dan mantan Pesuruhjaya sebagai ahli Jawantankuasa Khas untuk mengkaji hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengalu-alukan keputusan pemansuhan hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan.
Menurut Pengerusi SUHAKAM, Prof. Datuk Dr Rahmat Mohamad, keputusan berkenaan, jelas SUHAKAM, sejajar usaha advokasi Suruhanjaya serta Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan kerangka komprehensif untuk melindungi kebebasan asasi semua rakyat Malaysia.
Dalam kenyataannya pada Selasa, SUHAKAM turut menyatakan penghargaan dengan penglibatan Pesuruhjaya dan mantan Pesuruhjaya sebagai ahli Jawantankuasa Khas untuk mengkaji hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori dalam memberikan input kepada Rang Undang-Undang tersebut.
Kesemua ahli Jawatankuasa ini juga jelasnya, menjalankan pelbagai usaha ke arah penggubalan undang-undang berkenaan.
Dengan penghapusan hukuman mati mandatori, ia merupakan suatu langkah positif ke arah ratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan, atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT).
Pada Isnin, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh dan dibahas 10 Ahli Parlimen.
#Suhakam #hukuman mati mandatori #mansuh #Parlimen
;