SUHAKAM, PDRM lakukan kajian elak kematian tahanan lokap - PM Anwar

Umavathi Ramayah
September 9, 2024 16:26 MYT
Perdana Menteri ketika berucap pada sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di sini, pada Isnin. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar memperkenalkan langkah-langkah perlindungan dan prosedur yang lebih telus bagi mengelakkan kes-kes kematian dalam tahanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu, satu kajian dan siasatan sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan PDRM.
"Ada beberapa masalah yang belum selesai, antaranya soal kematian dalam tahanan polis. Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) adalah di antara yang menyampaikan dengan saya bahawa beliau terbuka untuk diadakan satu siasatan, kajian untuk mengelak kes-kes kematian dalam tahanan.
"Sebahagiannya benar dan sebahagiannya persepsi, tetapi untuk membetulkan keadaaan (kajian ini perlu) untuk memastikan kaedah yang lebih telus bagi mengelakkan salah guna kuasa.
"Namun kebimbangan mereka, yang juga menjadi kebimbangan saya adalah tidak semua yang mengalami luka, kecederaan atau kematian dalam lokap adalah disebabkan penyalahgunaan kuasa oleh polis…Sebab itu, kita perlu prosedur yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Jubli Perak Hari SUHAKAM ke-25 di KL Sentral, di sini, pada Isnin.
Mengimbau pengalamannya dipukul ketika dalam tahanan polis pada 1998, Anwar berkata, seseorang itu tidak boleh dijatuhkan hukuman terlebih dahulu sebelum disabitkan oleh mahkamah.
"Kalau orang bicara tentang ada kebimbangan tentang penderaan dan kematian dalam lokap, tak perlu yakinkan saya, kerana saya tahu apa yang dirasakan, dan kita rasa bagaikan tidak terdaya lagi apabila diserang hingga hampir mati semasa dalam tahanan.
"Atas sebab ini kita perlu menyokong semua usaha yang diperlukan untuk melindungi tahanan dalam lokap," tambahnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan kesediaannya untuk menyertai lawatan SUHAKAM ke lokap polis kerana beliau percaya terdapat keperluan untuk segera menyelesaikan isu berkenaan.
#Anwar Ibrahim #Suhakam #PDRM #kematian dalam tahanan
;