SUHAKAM gesa penggantungan semua operasi pengusiran Bajau Laut

Pia Ernadya
Ogos 15, 2024 09:30 MYT
SUHAKAM mendapati proses pengusiran dan penempatan semula dijalankan dengan cara yang tidak berperikemanusiaan dan tanpa proses rundingan yang mencukupi.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa penggantungan segera semua operasi dan aktiviti pengusiran yang sedang berlaku di Semporna.
Ini kerana hasil dapatan SUHAKAM yang menjalankan misi ke Semporna selama dua hari mendapati, proses pengusiran dan penempatan semula dijalankan dengan cara yang tidak berperikemanusiaan dan tanpa proses rundingan yang mencukupi dengan masyarakat yang terjejas,khususnya kumpulan orang asal yang dikenali sebagai Bajau Laut.
"Pengusiran yang telah dilakukan tanpa sesi dialog atau penglibatan yang sewajarnya dengan komuniti yang terlibat telah menjejaskan hak asasi manusia kepada hak perumahan yang mencukupi, mengganggu sumber mata pencarian dan menafikan hak untuk membuat keputusan dalam kehidupan mereka.
"Oleh yang demikian, SUHAKAM menyokong penubuhan jawatankuasa khas yang terdiri daripada wakil masyarakat, pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan," jelas agensi itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah SUHAKAM lagi, jawatankuasa ini harus dipertanggungjawabkan untuk merangka penyelesaian jangka panjang yang adil dan mampan serta menghormati hak dan mata pencarian masyarakat yang terjejas di samping memperkasa keperluan lain dengan lebih meluas.
"Jawatankuasa ini perlu ditubuhkan dengan segera dan SUHAKAM sentiasa bersedia untuk terlibat secara aktif dalam usaha ini," jelas kenyataan itu.
SUHAKAM juga berpendapat, pengusiran yang berterusan ini telah mendatangkan kesan yang teruk kepada masyarakat Bajau Laut sekali gus menjejaskan mata pencarian mereka.
Kata SUHAKAM, tindakan tersebut bukan sahaja akan mengabaikan suara mereka tetapi juga melanggar prinsip asas ketelusan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan hak orang asal.
"Orang Bajau Laut kebanyakannya tinggal di laut dan secara tradisinya mereka membina rumah di atas air. Budaya dan mata pencarian mereka sememangnya terikat dengan laut.
"Sebilangan besar orang Bajau Laut adalah buta huruf, tidak berpendidikan dan miskin, kerana gaya hidup pelaut mereka yang berpindah-randah. Mereka adalah masyarakat yang terpinggir dan tidak seharusnya dilayan sedemikian, sepertimana yang berlaku baru-baru ini," tegas kenyataan itu.
Agensi itu juga mengingatkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab tentang perjanjian Deklarasi Hak Orang Asli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDRIP) di mana Malaysia sendiri telah mengundi untuk menyokong semasa Majlis Hak Asasi Manusia dan juga Perhimpunan Agung PBB tanpa reservasi.
"UNDRIP mengandungi peruntukan yang luas untuk pengiktirafan dan perlindungan wilayah dan sumber orang asli/asal... walaupun UNDRIP merupakan dokumen yang tidak terikat, namun Kerajaan Malaysia wajib untuk patuh kepada piawaian sepertimana yang ditetapkan dalam UNDRIP.
"SUHAKAM kekal komited untuk menyokong resolusi yang bukan sahaja menegakkan hak asasi manusia Bajau Laut dan komuniti lain yang terjejas di Malaysia, tetapi juga memastikan bahawa tindakan masa hadapan di rantau ini harus berpandukan prinsip keadilan, penghormatan dan keterangkuman," jelas kenyataan itu lagi.
#Suhakam #bajau laut #operasi pengusiran #Deklarasi Hak Orang Asli
;