Suhaily kenang jasa Paramalingam, hoki bentuk disiplinnya
Bernama
Februari 4, 2024 04:45 MYT
Februari 4, 2024 04:45 MYT
KLANG: Disiplin yang dibentuk ketika berada di dalam pasukan hoki Selangor dahulu, menjadikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sebagai seorang yang lebih tegas dan bertanggungjawab.
Berkongsi berkenaan pengalamannya ketika bergelar pemain hoki, Mohd Suhaily berkata selain disiplin, elemen bermain sebagai satu pasukan juga banyak membantu beliau dalam menjalankan tugasnya sebagai polis.
"Displin, kerja sepasukan dan mahu menang (membentuk diri saya hari ini). Sama juga ketika bekerja, Kita perlu ada kawan-kawan dan rakan sepasukan untuk mencapai sesuatu dan ia mengenai strategi untuk menjayakannya.
"Saya rasa saya dapat asas merancang dan kerja berpasukan daripada jurulatih-jurulatih yang hebat dan bagus," katanya ketika melawat bekas jurulatihnya C Paramalingam, di kediamannya di sini, pada Ahad.
Mohd Suhaily yang mula bermain hoki seawal usia 12 tahun, pernah mewakili Selangor dalam beberapa kejohanan seperti Piala Razak, Sukan Malaysia (Sukma) dan liga nasional.
Pada pertemuan itu, Suhaily dan beberapa bekas pemain hoki negara memberikan cenderahati kepada Paramalingam, sebagai memperingati jasa jurulatihnya itu.
Sementara itu, Paramalingam berkata beliau terharu dan melahirkan rasa gembira apabila dapat bertemu semula dengan anak-anak buahnya, selepas sekian lama tidak berjumpa.
"Saya gembira untuk dapat berjumpa mereka semula. Saya masih ingat masa ketika mereka diarahkan untuk berlari di tepi Stadium Hoki MPK (Majlis Perbandaran Klang), yang merupakan pusat latihan kami.
"Kini mereka semua telah dewasa dan berjaya dalam tugas masing-masing.
-- BERNAMA