Sudha Devi dilantik semula sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel
Bernama
Januari 10, 2023 14:39 MYT
Januari 10, 2023 14:39 MYT
PUTRAJAYA: Datuk Sudha Devi KR Vasudevan dilantik semula sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel untuk penggal dua tahun mulai 1 Jan 2023.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan semula beliau mendapat sokongan konsensus daripada kesemua 56 negara anggota Komanwel.
Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia itu kali pertama dipilih mengetuai yayasan itu pada 2020 melalui pemilihan yang berlangsung di London dan menjadi orang Asia pertama dipilih sebagai Pengerusi sejak penubuhan yayasan itu pada 1966.
"Pelantikan semula Sudha Devi sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel adalah cerminan peranan penting Malaysia serta komitmen kukuhnya dalam menyokong kerja Yayasan serta organisasi Komanwel secara keseluruhan," menurut kenyataan itu.
Menurut Wisma Putra sebagai pengerusi Yayasan Komanwel, Sudha Devi akan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengelola, mewakili yayasan pada mesyuarat dan acara antara kerajaan dan berkhidmat sebagai duta untuk mempromosi visi dan nilai yayasan.
Yayasan Komanwel ditubuhkan untuk menyokong dan mengukuhkan penyertaan rakyat, terutama melalui Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dalam membangunkan masyarakat demokratik.
Sepanjang tahun, Yayasan telah menjalankan pelbagai program untuk menyokong suara awam dalam mempengaruh wacana awam mengenai isu seperti kesaksamaan jantina dan khidmat masyarakat.
Ia juga menawarkan geran kepada CSO negara anggota Komanwel yang berhasrat untuk menganjurkan program bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam mendukung tadbir urus, demokrasi dan hak asasi manusia.
-- BERNAMA