Sudahlah tak dibayar gaji, sikit-sikit nak lempang - Pembantu rumah
Umavathi Ramayah
September 9, 2022 14:18 MYT
September 9, 2022 14:18 MYT
KUALA LUMPUR: Ibadat manusia tidak bertamadun. Memang sukar untuk memahami kenapa manusia tergamak berkelakuan kejam dan hilang nilai kemanusian.
Seorang pembantu rumah warga Indonesia, Wesi Wendi, 47, mendedahkan, sepanjang empat tahun bekerja dengan seorang doktor bergelar 'Datuk', dia bukan sahaja tidak dibayar gaji malah menjadi tempat majikannya melepaskan kemarahan dengan memukul dan melempang sesuka hati.
Lebih malang lagi, dia hanya diberi makanan yang hampir basi setelah disimpan tiga ke empat hari dalam peti sejuk.
"Kalau saya selalu dimarahi pun saya okay, tapi saya tahan sering dipukul, bukan sahaja majikan tetapi kadangkala ibu majikan dan anak lelakinya," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Menceritakan lanjut, Wesi memberitahu, majikannya itu selalu memukul menggunakan kayu termasuk di bahagian kemaluan dan bahu, namun tidak pernah membawanya ke klinik untuk merawat luka-luka itu.
Setiap kali didera sebegitu, mangsa hanya menangis dan tidak melawan kerana bimbang akan nasibnya.
"Sekali dia (majikan) pukul sehingga kulit di atas kening saya terkoyak, lepas itu dia sendiri menjahit tanpa memberi sebarang ubat," tambahnya.
Selama bekerja dengan majikan itu, Wesi hanya dibayar sejumlah RM1,800 dalam tiga bayaran berasingan, yang dihantarnya ke kampung halamannya di Indonesia.
Tidak tahan dengan penyeksaan itu, dia memberanikan diri memberitahu majikannya yang dia mahu kembali ke Indonesia.
"Dia (majikan) sangat marah, dia kemudian memukul saya dengan selipar dan seret saya ke keretanya, ketika itu kedua-dua lutut dan tangan cedera diseret, sebelum dia meninggalkan saya di tepi jalan," ujarnya.
Menurutnya, majikan itu sepatutnya membayar tunggakan gaji RM54,000.
Hilang deria pendengaran
Sementara itu, seorang lagi pembantu rumah, Naomi Mora Emu, 41, pula umpama terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut harimau.
Naomi yang melarikan diri kerana tidak tahan kekejaman bekas majikannya, tidak menyangka dia terpaksa mengharungi penyeksaan yang sama dengan majikan baharunya.
Menurutnya, dia bukan sahaja tidak dibayar gaji sejak mula bekerja 10 tahun lalu malah dipukul sehingga telinga kirinya hilang deria pendengaran.
"Saya 'diselamatkan' oleh majikan ketika saya berkeliaran di Klang, Selangor selepas melarikan diri daripada bekas majikan.
"Saya dijanjikan untuk diberi gaji bulanan dan makanan, namun sehingga hari ini saya tidak pernah dibayar dan jumlah tunggakan gaji yang saya harus terima adalah kira-kira RM121,700," katanya dalam bahasa Tamil.
Noami yang datang dari sebuah kawasan pedalaman di Sumatera Barat, Indonesia memberitahu, disebabkan sudah lama bersama keluarga majikan dan tidak dibenarkan berkomunikasi dengan jiran, dia hanya boleh berbahasa Tamil.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dalam satu temu bual dengan Astro AWANI sebelum ini mendedahkan sebanyak 797 kes penderaan membabitkan pembantu rumah warga Indonesia dilaporkan kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia sejak 2020 hingga Jun 2022.