Sudahlah duit lesap dan kucing tak dapat, penjawat awam Melaka diugut bunuh pula

Shuhada Abdul Kadir
Februari 15, 2023 14:03 MYT
Niat seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri Melaka membeli seekor kucing siam terbantut apabila terperdaya dengan sindiket penipuan dalam talian. - Gambar hiasan
MELAKA TENGAH: Niat seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri Melaka membeli seekor kucing siam terbantut apabila terperdaya dengan sindiket penipuan dalam talian.
Bukan sahaja mengesyaki dirinya ditipu, malahan mangsa lelaki berusia 50-an itu mendakwa turut diugut bunuh gara-gara tidak mahu menurut permintaan ahli sindiket itu untuk memindahkan sejumlah lagi wang yang diminta.
Menceritakan hal itu, pada awalnya dia memulakan urus niaga bersama seorang individu menggunakan nama Marzuki di laman Facebook selepas melihat iklan penjualan seekor kucing siam bewarna kelabu untuk dijual pada harga RM900.
“Apabila kami mula berhubung, individu itu setuju untuk menawarkan diskaun RM400 dan meminta saya untuk membayar deposit sebanyak RM200 sebelum wang berkenaan kemudian dipindahkan secara dalam talian.
“Kemudian keesokannya saya terima pula pesanan WhatsApp menggunakan nombor luar negara yang meminta saya wang tambahan RM450 kononnya kos untuk kuarantin kucing,” katanya di sini.
Menurutnya, selepas beberapa kali rundingan dibuat, individu berkenaan setuju memberikan diskaun dan beliau kemudian memindahkan RM200 lagi ke akaun sama sebelum ini.
Namun tidak terhenti di situ, beliau menerima pesanan daripada nombor telefon berbeza yang memintanya untuk memindahkan lagi sejumlah wang bagi meneruskan pembelian sebelum terus bertindak membuat laporan polis.
“Apabila sindiket itu asyik minta saya pindahkan wang, saya mula pelik lah dan saya terus membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh selepas menyedari ditipu sebanyak RM400.
“Individu itu juga mengugut saya dengan membuat ugutan jenayah dengan mengatakan “jika saya tidak buat bayaran seperti diminta, kepala dia atau kepala saya akan dipenggal”,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan ketika dihubungi mengesahkan, laporan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
#kucing Siam #penjawat awam #diugut bunuh #mangsa scam
;