Sudah tiba waktunya laksana reformasi struktur SPRM - C4
Ridauddin Daud
Januari 13, 2022 13:47 MYT
Januari 13, 2022 13:47 MYT
SHAH ALAM : Sudah tiba waktunya kerajaan melakukan reformasi terhadap struktur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pandangan tersebut disuarakan Pengarah Eksekutif Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kroni (C4), Cynthia Gabriel yang menegaskan, kes membabitkan Tan Sri Azam Baki membawa rasuah ke tahap baharu dan meruncing.
Tegas beliau, kes Ketua Pesuruhjaya SPRM itu juga telah mempamerkan beberapa kelemahan dalam institusi yang sepatutnya menjaga dan membanteras rasuah itu.
Justeru, beliau berharap dengan apa yang terjadi, sekarang merupakan masa paling sesuai untuk membawa beberapa reformasi dalam suruhanjaya itu.
“Kami minta siasatan bebas sebab mungkin ada beberapa undnag-undang, ada kesalahan yang dilakukan, mungkin tapi kita tak tahu sampailah siasatan berlaku.
“Pelik juga bila Pengerusi LPPR (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah) kata tiada kesalahan, tiada apa-apa dan satu lagi, ada juga kenyataan daripada Timbalan Pesuruhjaya yang kata kami sokong beliau.
“Boleh juga tapi mana siasatannya? Jadi, sebagai penguatkuasa tertinggi yang fokusnya kepada siasatan rasuah, sebenarnya semua kepimpinan SPRM tahu bahawa siasatan itu sangat penting.
Isu SPRM | Isu Azam Baki isu besar, libat sistem negara
“Dari dulu kami perjuangkan untuk SPRM insitutusi yang perlu betul-betul bebas. Sekarang SPRM di bawah Jabatan Perdana Menteri...dari dulu. Ini adalah masalah yang kami rasa pengaruh eksekutif itu memang kuat,” katanya dalam sidang media Rasuah Buster - Solusi Transformasi SPRM di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, beberapa perubahan perlu dilakukan dalam akta seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Saya nak bagi satu contoh. Contohnya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Akta ini dah 12 tahun tapi keberkesanannya tidak memuaskan.
Pemilikan Saham | Abu Zahar sedia disiasat
“Kalau tak salah saya, bilangan yang mendapat perlindungan kira-kira 500 ke 600 orang sahaja. Kami bersama masyarakat sivil lain membuat banyak perbincangan melalui forum dan bengkel.
“Bahkan kami juga jumpa Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri untuk gubal, buat pindaan supaya akta ini lebih berkesan,” ujarnya lagi.