Sudah lama sejak ciuman itu, Nurul Izzah nantikan kepulangan papa
Kohilah Sekaran
Mei 16, 2018 09:12 MYT
Mei 16, 2018 09:12 MYT
"Sudah lama sejak ciuman itu, papa." Demikian antara luahan hati Nurul Izzah, anak kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual dibebaskan dari tahanan penjara hari ini.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menerusi satu posting di Instagram melahirkan rasa syukur akan menyambut bulan Ramadan dengan menyambut kepulangan ayahnya yang telah menerima pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Allah SWT dalam segala hikmah-NYA telah menganugerahkan kita kepulangan ini. Apa lagi cara yang lebih baik untuk menyambut Ramadan.
“Sebuah pengampunan berdasarkan keadilan yang tersasar. Satu perpisahan yang akhirnya disusuli dengan satu pelukan," tulis Izzah di akaun Instagramnya.
Naib Pengerusi PKR itu turut menegaskan beliau akan berjuang bersama Anwar bagi meneruskan reformasi dan keadilan di negara ini.
“Saya sayang papa. Kita ada banyak lagi tugas untuk dilakukan. Banyak lagi ketidakadilan untuk diperbetulkan,” ujarnya.
Anwar dijangka dibebaskan selepas syor pembebasan dan pengampunan penuh oleh mesyuarat Lembaga Pengampunan Diraja yang bersidang jam 11 pagi ini.
Proses pembebasan Anwar akan dilakukan di Hospital Rehabilitasi Cheras tanpa perlu dibawa ke Penjara Sungai Buloh.
Anwar dikenakan hukuman penjara lima tahun pada 2015 atas tuduhan liwat, tuduhan yang dikatakan penyokongnya sebagai bermotifkan politik.
#Anwar Ibrahim
#Instagram
#Nurul Izzah
#Parti Keadilan Rakyat
#Permatang Pauh
#Ramadan
#Yang di-Pertuan Agong