Sudah ada pilihan pendaftaran vaksin COVID-19 untuk pengguna Android dan iOS
Firdaus Azil
Februari 23, 2021 16:28 MYT
Februari 23, 2021 16:28 MYT
KUALA LUMPUR: Pendaftaran untuk Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan sudah boleh dilakukan bermula hari ini.
Menurut portal teknologi Soya Cincau, pilihan pendaftaran kini sudah boleh dicapai oleh pengguna MySejahtera yang menggunakan sistem operasi iOS dan Android.
Semakan mendapati, selepas anda kemaskini app versi terbaru, terdapat pilihan baharu di ruangan muka hadapan MySejahtera iaitu COVID-19 Vaccination.
Selepas anda memilih tetapan berkenaan, anda akan dibawa ke satu halaman untuk memeriksa dan mengesahkan butiran peribadi anda – nama, nombor kad pengenalan serta ID Mysejahtera.
Menurut halaman itu, anda perlu memastikan butiran pendaftaran pada nama, termasuk Bin, Binti, A/P dan A/L.
Selepas itu, pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengesahkan maklumat itu sebelum anda dibenarkan mengambil suntikan vaksin COVID-19.
Anda kemudian dimaklumkan ketika ini merupakan fasa satu untuk pemberian COVID-19 dan akan ada notifikasi di aplikasi MySejahtera sekiranya fasa seterusnya akan bermula.
Awal hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan sehingga kini terdapat 572,588 petugas barisan hadapan telah berdaftar untuk fasa pertama program imunisasi tersebut.
Dalam sidang media yang sama, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19 (JKJAV) akan berusaha memasukkan 55, 539 guru yang berisiko tinggi ke dalam fasa pertama.
Untuk rekod, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, terdapat beberapa cara untuk pendaftaran imunisasi selain menggunakan aplikasi MySejahtera, iaitu laman web khas di bawah JKJAV, talian hotline dan pendaftaran secara manual.
Selain itu, kerajaan Persekutuan juga akan mengadakan kerjasama strategik dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk memastikan golongan warga emas, terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman, tidak ketinggalan dalam program imunisasi tersebut.
#vaksin
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#MySejahtera
#iOS
#Apple
#Android
#Khairy Jamaluddin
#Kementerian Kesihatan
#Malaysia
#COVID-19
#warga emas
#operasi