'Suci Dalam Debu' kenangan manis buat saya - Lim Guan Eng

Astro Awani
Oktober 14, 2018 16:29 MYT
Lim Guan Eng berkata kehilangan penyanyi bersuara serak-serak basah itu memang dirasai. - Gambar fail
Pemergian penyanyi kumpulan Iklim, Saleem bukan hanya dirasai oleh peminat dan penggiat seni tempatan sebaliknya ia turut menyentuh hati Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Menerusi kenyataan ringkas di media sosial, Guan Eng memberitahu lagu-lagu nyanyian Saleem menjadi peneman jiwanya ketika aktif sebagai pemimpin pembangkang suatu ketika dahulu.
"Lagu Allahyarham bersama Iklim, Suci Dalam Debu, merupakan kenangan manis buat saya pada awal 1990-an.
"Ketika berjuang sebagai pembangkang, lagu-lagu Saleem menemani jiwa saya. Malah, beberapa lagu rock Allahyarham juga menawan hati," tulis Setiausaha Agung DAP itu.
Ahli Parlimen Bagan itu turut berasa amat sedih dan bagi beliau, kehilangan penyanyi bersuara serak-serak basah itu memang dirasai.
"Semoga Allahyarham tenang abadi di sana. Salam takziah buat keluarga Saleem," katanya lagi.
Pemilik nama sebenar Abdul Salim Abdul Majeed itu menghembus nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras kira-kira jam 6.30 pagi tadi.
Penyanyi yang berasal dari Setiu, Terengganu itu dirawat di hospital berkenaan ekoran terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Sept lalu.
Selain 'Suci Dalam Debu', Saleem bersama Iklim turut popular dengan lagu 'Bukan Aku Tak Cinta', 'Di Pintu Mahligai', 'Blues Terengganu Kita' dan banyak lagi.
#A M Salim Abdul Majeed #Blues Terengganu Kita #Di Pintu Mahligai #iklim #Lim Guan Eng #Saleem #Setiu #Suci Dalam Debu #terengganu
;