'Succesion Plan' sistematik bagi pelapis pegawai jawatan strategik

Fifi Harteeny Marzuki
November 15, 2018 05:32 MYT
Menurut Mohd Shafie, Kerajaan Negeri sentiasa memberikan keutamaan terhadap 'Succesion Plan' bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan perkhidmatan awam melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan. - Gambar fail
Kerajaan Negeri akan melaksanakan 'Succession Plan' yang sistematik bagi menyediakan pelapis kepada pegawai-pegawai jawatan strategik yang bakal bersara atau dinaikkan pangkat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata inisiatif tersebut antara lain adalah melaksanakan pemantapan struktur organisasi melalui penubuhan Bahagian Biasiswa dan Latihan dalam Perkhidmatan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari tahun hadapan.
Menurut Mohd Shafie, Kerajaan Negeri dalam masa yang sama mensasarkan peningkatan peratusan jawatan bagi kumpulan Pengurusan dan Profesional daripada 6 peratus kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun.
"Penambahan kapasiti penjawatan tersebut akan meningkatkan jumlah pengisian jawatan seterusnya mengukuhkan sumber tenaga kerja agar pelaksanaan tugas dan tanggungjawab setiap penjawat awam lebih fokus dan teratur.
"Kerajaan Negeri juga akan mengadakan program kolaborasi dengan Institut-institut Latihan terkemuka dengan menghantar pegawai kumpulan Pengurusan dan Profesional menghadiri program latihan jangka pendek di dalam dan luar negara bagi memberikan pendedahan kepada budaya organisasi berprestasi tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai mengenai langkah kerajaan dalam mempunyai pelan penggantian untuk jawatan kanan dalam perkhidmatan awam negeri.
Tambah Mohd Shafie, Kerajaan Negeri sentiasa memberikan keutamaan terhadap 'Succesion Plan' bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan perkhidmatan awam melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan.
"Perancangan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai matlamag jelas dalam menentukan hala tuju perkhidmatan awam negeri melalui pemekasaan keupayaan dan peningkatan kompetensi penjawat awam ke arah mewujudkan perkhidmatan awam berprestasi tinggi,"katanya.
#Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah #joniston bangkuai #JPANS #Kiulu #Mohd Shafie Apdal #pegawai #Sucession Plan