Subvarian Arcturus: Kanak-kanak belum divaksin, imuniti rendah berisiko - Pakar Kesihatan
Astro Awani
April 18, 2023 19:17 MYT
April 18, 2023 19:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang belum divaksinasi, individu yang tidak menerima suntikan penggalak serta mereka yang mempunyai imuniti rendah antara yang berisiko menerima jangkitan subvarian baharu COVID-19 yang digelar Arcturus.
Pakar Kesihatan, Dr Farhan Rusli berkata, subvarian berkenaan juga boleh menyebabkan kadar keterukan penyakit yang lebih serius.
Selain itu, ujarnya subvarian berkenaan mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi berbanding subvarian sebelum ini.
"Buat masa ini kita masih lagi tidak dapat menentukan subvarian ini, adakah ia sama teruk seperti Delta, tetapi ia teruk dari subvarian sebelum-sebelum ini.
"Apabila kita mengatakan sesuatu sebegitu, ia ada simptom mata dan memasukkan orang ke dalam hospital, kenapa kawalan ini harus dilaksanakan pada peringkat awal?
"Jika ada mutasi yang akan berlaku daripada subvarian tersebut, ia mungkin akan menjadi lebih teruk daripada Delta sebelum ini," katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi di Astro AWANI pada Selasa.
Jelas beliau, situasi teruk yang berlaku akibat varian Delta sebelum ini antaranya kerana kadar vaksinasi tidak mencapai liputan yang meluas dan tahap keberkesanan.
"Tetapi sekarang kenapa kita mengatakan populasi ada lebih teruk berbanding subvarian sebelum ini? Ini kerana vaksin yang kita telah terima itu, daya ketahanannya makin lama makin kurang dan sebab itu dos penggalak diperlukan.
"Ada kemungkinan kita mengatakan subvarian ini sama dengan subvarian sebelum ini, tetapi sebelum ini imunisasi kita masih lagi tinggi," tambahnya.
Dalam masa yang sama, Dr Farhan berpandangan adalah wajar untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di kawasan sesak termasuk dalam pengangkutan awam.
Selain itu, walaupun kerajaan tidak mengeluarkan arahan penggunaan sejadah sendiri ketika solat di masjid, beliau menasihati umat Islam untuk mengambil inisiatif dengan membawa sejadah ketika solat Sunat Aidilfitri dan Solat Jumaat.
Mengenai tahap kesiapsediaan sistem kesihatan negara pula, Dr Farhan mengakui bahawa ia berada pada tahap yang mantap ketika ini, tetapi langkah pencegahan perlu dilakukan bagi mengelakkan ia kembali kepada tahap kritikal akan lonjakan kes COVID-19.