Suburkan prinsip toleransi, sirna fahaman Islamofobia - Penganalisis
Irfan Faruqi
Februari 27, 2023 19:05 MYT
Februari 27, 2023 19:05 MYT
KUALA LUMPUR: Masyarakat harus memahami konsep Malaysia MADANI khususnya berkaitan prinsip toleransi bagi menyirnakan fenomena Islamofobia, seterusnya perlu ada tekad untuk saling memahami antara satu sama lain merentasi agama dan bangsa.
Pakar Kajian Strategik & Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Mohd Mizan Aslam berkata, ini kerana situasi semasa di Malaysia membimbangkan, memandangkan trend Islamofobia dilihat semakin meningkat.
"Kita bercakap Islamofobia di negara yang bukan Islam, yang mana umat Islam sebagai minoriti mengalami insiden Islamofobia. Tapi hari ini isu yang lebih menarik ialah Islamofobia wujud dalam negara yang majoritinya Islam seperti Malaysia dan negara-negara Asia Barat yang lain.
"Ini adalah satu naratif baharu yang menarik. Kalau dalam konteks Malaysia, ini yang dipanggil 'naratif pasca PRU Islamofobia' yang dibawa oleh parti-parti politik tertentu untuk dijadikan alat memenangi pilihan raya yang akhirnya menyebabkan kita berada dalam situasi yang membimbangkan," katanya dalam temu bual program 100 Hari Kerajaan Perpaduan terbitan Astro AWANI.
Oleh yang demikian, Mizan berpandangan kaedah terbaik untuk menangani isu ini ialah dengan mengadaptasi pendekatan Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Langkah ampuh untuk menyelesaikan isu ini adalah menerusi gagasan Malaysia MADANI. Dalam konsep Madani ada konsep toleransi, hormat dan memberikan kebaikan kepada seluruh manusia tanpa mengira bangsa.
"Jika ia dapat disuburkan maka tidak lagi menjadi isu serangan terhadap Islam dan agama lain. Kita mesti faham, naratif ini penting untuk difahami untuk pertahankan kedaulatan dan kesejahteraan negara," jelasnya lagi.