Substesen TNB di Kepong terbakar

Bernama
Jun 9, 2024 23:57 MYT
Sebuah substesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak di Jalan Burung Hantu, Kepong, terbakar petang tadi.
KUALA LUMPUR: Sebuah substesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak di Jalan Burung Hantu, Kepong dekat sini, terbakar petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.14 malam tadi.
Menurut kenyataan itu, 13 anggota penyelamat bersama dengan dua jentera, masing-masing sebuah ambulans dan pacuan empat roda dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang serta Menjalara bergegas ke lokasi kejadian yang terletak berhampiran sebuah gereja itu.
"Kebakaran melibatkan Pencawang Pengubah milik TNB, teknik pemadaman secara sejukan susulan pemadaman secara terus tidak dapat dijalankan disebabkan faktor arus elektrik di lokasi," menurut kenyataan itu.
Kebakaran kemudian dapat dipadamkan dengan menggunakan kaedah 'foam' pada 9.21 malam dan kerja-kerja baik pulih sedang dilakukan sementara menunggu kehadiran pihak TNB.
"Punca kejadian masih dalam siasatan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#substesen TNB #terbakar #Tenaga Nasional Berhad #Jalan Burung Hantu #kepong
;