Subsidi tol kerajaan boleh dijimatkan untuk perbelanjaan lain - Gamuda

Bernama
April 6, 2022 08:45 MYT
Gamuda akan mengumumkan keputusan mengenai tawaran ALR secara serta-merta selepas lembaga kumpulan membuat keputusan mengenainya.
KUALA LUMPUR: Cadangan penstrukturan semula daripada empat pemegang konsesi lebuh raya di Lembah Klang akan membolehkan kerajaan menjimatkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion dalam subsidi tol, yang kemudiannya boleh dipakai untuk perbelanjaan pembangunan yang mendesak dan kritikal termasuk menambah baik infrastruktur asas di negara ini.
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd, Mohammed Rashdan Mohd Yusof berkata penjimatan ini kemudiannya boleh dibelanjakan bagi perbelanjaan pembangunan yang penting termasuk infrastruktur asas yang akan meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
"Ia boleh disalurkan untuk memberi manfaat yang lebih meluas kepada rakyat serta Keluarga Malaysia secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan.
BACA: Penstrukturan semula lebuh raya: Kerajaan sedang berunding dengan beberapa konsesi tol - Fadillah
BACA: Tiada kenaikan tol di empat lebuh raya di Lembah Klang - PM
Beliau menjelaskan Gamuda masih mempertimbangkan dan membincangkan tawaran daripada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR), dan akan mengumumkan keputusannya mengenai tawaran ALR secara serta-merta selepas lembaga kumpulan membuat keputusan mengenainya.
"Industri tol telah bersifat agak kompleks untuk beberapa waktu, cuba mencari penyelesaian yang sesuai bagi meringankan beban kerajaan untuk membayar subsidi tol setiap tahun. Usaha menyelesaikan keadaan ini adalah sesuatu yang sangat sukar, hinggalah semalam," katanya.
-- BERNAMA
#Gamuda #konsesi lebuh raya #jimat subsidi tol #penstrukturan semula lebuh raya
;