Subsidi tidak memulihkan ekonomi, sekadar pastikan kumpulan rentan terbela - FOMCA

Irfan Faruqi
Jun 30, 2023 19:33 MYT
Paul berkata tindakan kerajaan melaksanakan langkah penjimatan dengan menyediakan mekanisme subsidi bersasar adalah baik. - foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Subsidi bukan bertujuan untuk memulihkan ekonomi sebaliknya untuk memastikan golongan rentan dapat menikmati kualiti hidup minimum.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, bantuan kepada golongan ini adalah tidak mencukupi dan kerajaan perlu mengekalkan subsidi serta bantuan kepada golongan termiskin berkenaan.
“Apabila kita bercakap mengenai subsidi untuk membantu golongan masyarakat rentan, maka subsidi bukan bertujuan untuk memulihkan ekonomi, sebaliknya untuk memastikan masyarakat yang memerlukan mendapat kualiti hidup yang mininum.
“Saya rasa kebajikan masyarakat yang memerlukan bantuan secara menyeluruh adalah kurang. Bantuan yang kita berikan adalah kecil, berkala dan tidak tersusun. Ini menyebabkan ada keluarga yang tidak mendapat bantuan yang minimum seperti yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat terbitan Astro AWANI hari ini.
Subsidi tidak memulihkan ekonomi, sekadar pastikan kumpulan rentan terbela - FOMCA
Paul mengakui tindakan kerajaan melaksanakan langkah penjimatan dengan menyediakan mekanisme subsidi bersasar adalah langkah yang baik, namun beliau membangkitkan mengenai ke manakah penjimatan itu akan disalurkan.
Beliau berpandangan penjimatan tersebut perlu disalurkan dalam bentuk subsidi, bantuan dan pemberian tunai kepada golongan paling tidak bernasib baik secara menyeluruh, iaitu ditumpukan kepada aspek perumahan, perubatan, penjagaan anak-anak dan pengangkutan.
“Sekarang kita sebut tentang bil elektrik, tetapi masalah mengenai kos sara hidup ialah menyeluruh. Mereka tidak mampu beli rumah.
Dari segi kesihatan, hospital kerajaan sudah bagus tetapi akibat tunggu terlalu lama, mereka terpaksa beralih ke hospital swasta dan tanggung kos tinggi dengan menggunakan duit poket sendiri.
Sama juga situasinya dengan penjagaan anak-anak yang mahal. Ini menyebabkan mereka menghadapi tekanan, memandangkan gaji tidak tinggi tetapi kos sara hidup terus meningkat,” tambahnya.
#Dialog Poket Rakyat #subsidi #bantuan kerajaan #B40
;