Subsidi rumah mampu milik harus telus - Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan
Azyyati Ahmad
Oktober 10, 2013 14:00 MYT
Oktober 10, 2013 14:00 MYT
Inisiatif kerajaan untuk menyediakan subsidi untuk rumah mampu milik sangat dialu-alukan namun harus dipastikan perlaksanaannya sampai kepada golongan yang memerlukan, ujar Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Yusof Abdul Rahman.
Yusof berkata demikian semasa merujuk kepada pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah baru- baru ini mengenai subsidi kerajaan untuk rumah mampu milik.
Yusof berkata masalah yang mungkin bakal timbul kerana subsidi ini adalah ketirisan dalam pemberian subsidi.
“Kerajaan perlu telus dalam pemberian subsidi. Jangan nanti orang yang tidak layak mendapat subsidi dan orang yang layak pula tidak dapat” tegasnya kepada Astro AWANI.
Memandangkan rata-rata harga rumah di bandar masa kini begitu mahal, Yusof berharap agar projek rumah mampu milik ini juga dibina di tempat yang strategik.
“Jika projek ini dijalankan di pinggir bandar, haruslah dipastikan kawasan tersebut dekat dengan pengangkutan awam dan kemudahan lain agar memudahkan pembeli.
"Walaupun subsidi ini dilihat bagus untuk golongan sasaran seperti mereka yang berpendapatan rendah, namun dari segi pembiayaan mungkin dilihat masih boleh memberi kekangan kepada pengguna seperti kadar faedah pinjaman yang tinggi” jelasnya lagi.
Ahmad Husni sebelum ini mengumumkan dalam Bajet 2014 nanti kerajaan akan memperuntukkan subsidi sebanyak RM20,000 bagi rumah berharga RM65,000 dan subsidi RM15,000 bagi kediaman berharga RM45,000 serta beberapa peruntukkan untuk rumah jenis banglo dan teres.
#Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan
#rumah mampu milik
#yusof abdul rahman