Subsidi RON95: Kredit ke akaun bank antara pilihan - Saifuddin
Harits Asyraf Hasnan
April 10, 2019 11:44 MYT
April 10, 2019 11:44 MYT
Kerajaan masih belum memutuskan berkenaan mekanisme bantuan subsidi bersasar petrol RON 95.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata antara cadangan ketika ini termasuk mengkreditkan subsidi petrol di dalam akaun bank mereka yang layak menerima bantuan tersebut.
Bagaimanapun, pihaknya masih berdepan masalah apabila ketika ini 10 peratus daripada mereka yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) masih belum mempunyai akaun bank.
“Dengan cara kita masukkan terus kepada penerima, pada hari pelaksanaan subsidi bersasar, harga di pam tetap sama.
“Sebagai contoh, saya yang layak dapat subsidi bayar RM2.80. Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub) pun bayar RM2.80.
“Tetapi Bera tidak layak terima subsidi. Jadi kerajaan akan kredit (subsidi) dalam akaun saya sebagai rakyat yang layak terima subsidi dan itu satu alternatif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub (BN-Bera) yang bertanya berkenaan mekanisme pelaksanaan subsidi petrol kepada golongan sasar.
Antara mekanisme lain yang dicadang dilaksanakan adalah kad identiti bagi memudahkan pihaknya merekodkan perbelanjaan pengguna sebagai asas kepada pelaksanaan subsidi bersasar bagi barangan pengguna lain.
#Bantuan Sara Hidup
#Dewan Rakyat
#Ismail Sabri Yaakub
#KPDNHEP
#petrol
#RON95
#Saifuddin Nasution Ismail
#subsidi