Subsidi RON95: Kaedah untuk T15 dibincang sebelum dimuktamadkan Jemaah Menteri

Pia Ernadya
Oktober 22, 2024 23:02 MYT
Rafizi berkata, kaedah yang dimuktamadkan itu akan diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri sebelum pelaksanaannya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kaedah pelaksanaan penyasaran semula yang dicadangkan khususnya untuk golongan 15 peratus yang tidak layak menerima subsidi bahan api RON95 atau T15 sudah dibentang dan dibincangkan di pelbagai peringkat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kaedah yang dimuktamadkan itu akan diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri sebelum pelaksanaannya.
"Setelah semuanya diharmonikan dan perincian pelaksanaan itu mendapat kelulusan Jemaah Menteri, maka barulah ia boleh diumumkan kepada rakyat.
"Orang ramai harus fahami bahawa belanjawan hanyalah pernyataan hasrat kerajaan dan belum sepenuhnya diperincikan. Oleh itu, angka yang diumumkan hanyalah anggaran awal untuk mendapat kelulusan Dewan Rakyat sebelum dimuktamadkan.
"Kerajaan menyatakan rancangan pendapatan dan perbelanjaan yang melibatkan dasar-dasar serta projek-projek pada anggaran awal untuk mendapat kelulusan Dewan Rakyat. Selepas diluluskan, kerajaan kemudian menggunakan kelulusan itu untuk memperincikan projek-projek untuk dilaksanakan, termasuklah membuka tender, melantik kontraktor dan sebagainya," jelasnya di aplikasi X pada Selasa.

Gaji RM7,000 sebulan dah tak layak dapat subsidi RON95? Kalau belum dimuktamadkan kenapa umum dahulu? Tak buat homework ke? YAB Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 tahun depan. Banyak komen di luar sana dan saya faham ini peluang yang baik pic.twitter.com/bwTTmXEptY

— Rafizi Ramli (@rafiziramli) October 22, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebelum ini, Rafizi berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan sistem dua harga supaya golongan T15 dapat membayar kadar pasaran untuk petrol RON95 manakala yang lain mengikuti harga subsidi semasa.
Tambahnya, pelbagai perbincangan sudah dilakukan untuk memastikan kaedah pelaksanaan itu adil kepada semua pihak.
"Sudah tentu penentuan T15 ini adalah merujuk kepada taburan yang lebih adil, bukannya berdasarkan pendapatan kasar semata-mata," jelasnya.
#Belanjawan 2025 #RON95 #T15 #Dewan Rakyat
;