Subsidi RON95: Cari mekanisme berkesan, buat secara berperingkat - Dr Barjoyai

Madiha Abdullah
Julai 3, 2024 22:20 MYT
Jelas Dr Barjoyai, berdasarkan bantuan khas yang diberikan, kerajaan hanya mampu memberikan kepada dua juta rakyat berbanding kira-kira 9 juta rakyat yang mengharapkan subsidi. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perancangan untuk penyasaran semula subsidi petrol wajar dijalankan secara berperingkat supaya ia tidak mencetuskan kejutan seperti yang berlaku pada diesel.
Provost, Malaysia University of Science and Technology (MUST), Prof. Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, ini bagi membolehkan pelaksanaan itu dipantau dan kerajaan boleh merancang bentuk bantuan serta kumpulan sasar dengan lebih teliti.
"Saya harap ia dilakukan tahun depan sebab kita belum bersedia. Kita masih memerlukan maklum balas yang rapi, kita hendak lihat data suku tahun akan datang, kesan ke atas inflasi secara khusus untuk setiap jenis barang dan peringkat.
"Penting juga untuk lihat pengalaman memberi bantuan subsidi kepada kumpulan sasar," katanya semasa program Agenda AWANI, pada Rabu.
Jelasnya, berdasarkan bantuan khas yang diberikan, kerajaan hanya mampu memberikan kepada dua juta rakyat berbanding kira-kira 9 juta rakyat yang mengharapkan subsidi.
Tegasnya, ia akan menimbulkan kekecohan yang lebih besar jika perancangan tidak dibuat dengan baik.
Pendapat yang sama dikongsi Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusof, yang merasakan pengguna masih belum bersedia malah ketika ini masih ramai sedang menyesuaikan diri dengan penyasaran semula subsidi diesel.
"Kalau kita tengok trend kenaikan harga dan inflasi fiskal pengeluaran, saban bulan meningkat disebabkan keadaan ekonomi semasa dan poket rakyat semakin nipis.
"Rakyat memang belum bersedia menerima kenaikan harga petrol RON95," katanya.
Tambahnya, rakyat mengharapkan mekanisme yang berkesan supaya kenaikan harga petrol tidak dirasai dan kenaikan harga barang juga boleh dikawal.
"Ini kerana kaedah yang digunakan sekarang iaitu pemberian tunai dilihat masih tidak berjaya mengurangkan bebanan pengguna dan rakyat," ujarnya
Agenda AWANI: Subsidi bersasar RON95: Bila waktu sesuai?
#RON95 #Inflasi #kumpulan sasar #bantuan subsidi
;