Subsidi petrol: Memastikan sasaran subsidi tepat, elak ketirisan - Ahmad Maslan
Astro Awani
November 3, 2023 14:11 MYT
November 3, 2023 14:11 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi jaminan kerajaan akan menyelesaikan masalah utama penyediaan subsidi petrol dan gas yang berlarutan selama ini.
Antara lain beliau berkata, sasaran subsidi disampaikan tepat kepada mereka yang layak tanpa menanfaatkan golongan kaya atau T20.
"Orang miskin ada sebuah motosikal, manakala orang kaya ada yang mempunyai sehingga 10 kenderaan sama ada kereta atau motor.
"Jadi tentunya mereka yang ada 10 kenderaan itu mengguna lebih banyak subsidi berbanding mereka yang hanya ada sebuah motosikal kecil.
"Ini yang kita nak betulkan supaya orang kaya yang 10 peratus itu tidak lagi menerima subsidi minyak tetapi kita lebihkan penjimatannya kepada kumpulan yang sepatutnya menerima.
"Itu perkara yang wajar dibuat dan perkara yang adil untuk dibuat," katanya ketika ditemubual dalam program Niaga AWANI pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahmad juga menegaskan kerajaan akan terus berusaha mencari jalan meningkatkan pendapatan negara menerusi beberapa langkah konsolidasi fiskal.
Katanya, ia termasuk memastikan tata kelola dan penguatkuasaan cukai yang telus sekali gus menurunkan defisit fiskal.
"Sekarang ni pendapatan kita sekitar RM312 bilion untuk tahun depan tetapi perbelanjaan kita RM393 bilion, baki selebihnya itu terpaksa kita pinjam dan kita ingin kurangkan hutang, itu kerja kita.
"Oleh itu kita tetap berhutang tetapi tidak sebanyak sebelum sebelum ini, kita cuba untuk mengurangkan hutang negara.
"Hutang tetap kena bayar dan kita sedang mengikut tempohnya dan yang kita bayar itu baru dia punya interest.
"Jadi segala perkara ini perlu diatur sedemikian rupa supaya ekonomi negara berada terus dalam keadaan terbaik," katanya lagi.