Subsidi petrol: Belum ada tarikh tetap - Saifuddin

Harits Asyraf Hasnan
Januari 12, 2020 14:18 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia termasuk berkenaan mekanisme atau kaedah pemberian subsidi kepada golongan M40 dan B40. - Foto Astro AWANI
Kerajaan masih belum menetapkan sebarang tempoh mula pelaksanaan Program Subsidi petrol (PSP) berikutan wujud keperluan untuk mengemaskini mekanisma selain memberi penjelasan kepada rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia termasuk berkenaan mekanisme atau kaedah pemberian subsidi kepada golongan M40 dan B40.
"Itu merupakan antara perkara yang kita cuba selaras. Ia belum lagi (diputuskan). Apabila idea subsidi bersasar ini dibuat, Kementerian Kewangan telah melakukan permohonan cadangan (RFP) untuk vendor yang berminat membantu kerajaan bagi mengendalikan.
"Pada ketika yang sama, KPDNHEP yang menjalankan (subsidi) untuk B40 berpendapat, subsidi melalui sumbangan tunai adalah lebih cekap. Jadi dengan penangguhan ini, ia memberi peluang kepada kedua-dua kementerian ini untuk mencapai keputusan.
"Ia itu apabila dilaksanakan nanti keputusan itu haruslah 'seamless' atau tidak kecoh di mana rakyat pergi ke pam minyak itu dalam keadaan mereka tidak rasa perubahan apa-apa, itu yang terbaik. Jadi ruang penangguhan ini bagi peluang kepada kami untuk kemaskini lagi," katanya kepada media selepas menyertai Pertandingan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad di sini pada Ahad.
Hadir sama pada program itu adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Mengulas lanjut, penangguhan itu adalah bagi memastikan golongan M40 yang turut mendaftar bagi program itu akan turut menerima insentif sama seperti golongan sasaran B40.
Ia berdasarkan kepada satu pertemuan antara Menteri Kewangan, LiM Guan Eng pada awal Januari.
“Pada mesyuarat tersebut MOF memaklumkan bahawa pendaftaran kategori M40 akan hanya dibuat pada akhir suku pertama tahun ini atau awal suku kedua.
“Ketika ini penerima B40 telah lengkap datanya, dan oleh kerana M40 baru dimaklumkan pendaftarannya dalam Bajet 2020 lalu, ketika B40 sudah sedia, M40 baru dalam proses pendaftaran. Jadi ada kewajaran untuk pelaksanaan itu nanti disekalikan," katanya.
Penghujung Disember tahun lalu, KPNDHEP mengumumkan PSP yang sepatutnya dimulakan Januari ini ditangguhkan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.
Keputusan untuk menangguhkan program itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 18 Disember lalu bagi memberi ruang terhadap penyelesaian dua perkara utama yang kini giat dilaksanakan kerajaan.
Antaranya merangkumi sesi penerangan dan penjelasan yang masih diteruskan kepada rakyat bagi memastikan kefahaman sewajarnya mengenai PSP berupaya diperoleh, sekali gus melancarkan mekanisme pelaksanaan program terbabit.
#golongan B40 #golongan M40 #KPDNHEP #petrol #Saifuddin Nasution #subsidi petrol
;