Subsidi minyak petrol ditarik sebelum Aidilfitri hanya khabar angin - Rafizi
Madiha Abdullah
Mac 23, 2024 14:39 MYT
Mac 23, 2024 14:39 MYT
SHAH ALAM: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menafikan khabar angin bahawa subsidi minyak petrol akan ditarik sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, apa sahaja keputusan berkaitan pemberian subisidi akan diperjelaskan kepada rakyat dan tidak akan dibuat dengan tergesa-gesa.
"Siapa yang bawa khabar angin itu? Kami sangat jujur dengan rakyat, kami mahu semua bantuan dan sistem sokongan diperhalusi dan siap terlebih dahulu sebelum apa-apa keputusan tentang subsidi petrol dibuat.
"Sebab itu kami 'melalak' pasal PADU, sebab kita kena selesaikan ini dulu. Kalau tarikh tutup PADU 31 Mac, mustahil ada keputusan mengenai subisdi petrol dan diesel dibuat terlalu dekat sebab kita perlu data dibersihkan, kita kena maklumkan kepada orang ramai, siapa yang akan dapat.
"Kerajaan telah pun mengumumkan sebelum ini yang pelaksanaan subsidi bersasar itu akan dipertimbangkan dari suku kedua ke atas kerana dilihat pada garis masa, kita perlukan suku pertama sehingga empat ke lima bulan pertama untuk selesaikan sistem sokongan.
"Kita dalam proses itu sekarang, apa-apa pun kita akan selesaikan stau persatu," katanya ketika ditemui selepas sesi Townhall sistem Pangkalan Data Utama (PADU), pada Sabtu.
Terdahulu, terdapat desas desus di media sosial yang mendakwa subsidi petrol akan ditarik dalam masa terdekat, susulan laporan jangkaan pengapungan RON95 dan diesel oleh oleh sebuah firma penyelidikan.