Subsidi minyak masak: Peniaga kecil disaran daftar perniagaan - Fuziah

Bernama
Mei 18, 2023 17:08 MYT
Fuziah berkata kementeriannya sedang mengadakan libat urus dengan beberapa pihak sebelum memuktamadkan cara pelaksanaan subsidi bersasar. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Peniaga kecil disaran mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi melayakkan mereka menerima subsidi minyak masak bersasar sejurus inisiatif itu dilaksanakan kelak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata langkah itu bagi memastikan golongan yang sememangnya layak menikmati subsidi menerima manfaat tersebut.
"Itu (daftar syarikat) akan dijadikan salah satu syarat kerana kita perlu pastikan mereka berniaga dan perlu mendaftar sebagai peniagaan yang terlibat dengan makanan...ini bertujuan memastikan subsidi sampai kepada yang betul-betul layak.
"Kita kena ada mekanisme atau sistem pemberian subsidi itu, kerana menjadi tugas kerajaan untuk pastikan tiada ketirisan selain bantu golongan yang memerlukan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bimbingan Usahawan 2023 Peringkat Pahang anjuran SSM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata kementeriannya sedang mengadakan libat urus dengan beberapa pihak sebelum memuktamadkan cara pelaksanaan subsidi bersasar.
"Ada banyak subsidi yang sedang diuruskan, KPDN kini bekerjasama dengan MOF (Kementerian Kewangan) antaranya melihat soal ketirisan dan antara fokus utama kami pada subsidi diesel kemudian beberapa lagi antaranya minyak masak...perlu tengok macam mana kita nak sasarkan," katanya.
Sehubungan itu, Fuziah berharap peniaga memanfaatkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang diperkenalkan SSM bagi memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada golongan B40, pelajar institut pengajian tinggi sepenuh masa dan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, SSM masih mempunyai baki RM6 juta dana untuk melaksanakan SPPP dan sehingga 30 April lepas jumlah pendaftaran SPPP adalah sebanyak 65,755.
Ditanya mengenai tindakan menjual semula tiket konsert Coldplay dengan harga mahal oleh ulat tiket, beliau berkata apa sahaja yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, iaitu menaikkan harga yang tidak wajar boleh diambil tindakan.
Coldplay, kumpulan muzik terkemuka dunia, menjayakan konsert dalam siri jelajah Music Of The Spheres World Tour yang dijadualkan pada 22 Nov ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menyentuh mengenai bekalan gula, Fuziah memaklumkan buat masa ini bekalan gula mencukupi dan semalam pihaknya telah bertemu dengan pengeluar gula bagi mengadakan perbincangan lanjut berhubung isu itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankusa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang memaklumkan isu kekurangan bekalan gula di Raub dan Maran sebelum ini adalah berikutan pembelian panik, namun kini telah diatasi.
Pada program itu, SSM turut menyampaikan sebuah mesin retort bernilai RM38,500 kepada Pertubuhan Dapur Infaq Ummah melalui peruntukan Wakalah Zakat Korporatnya (WZK) selain menyerahkan sumbangan RM150,000 kepada 300 mangsa banjir serta bantuan berjumlah RM10,000 kepada 20 usahawan.
-- BERNAMA
#mangsa banjir #golongan B40 #mati lemas #subsidi
;